Orang awam mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan memakai pelitup muka semasa berada di tempat awam ketika tinjauan di sekitar Bandar Klang pada 15 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tunggu analisis KKM sebelum PKPB di Selangor sambung – menteri

SHAH ALAM, 24 OKT: Kerajaan Persekutuan menunggu analisis dan penilaian Kementerian Kesihatan sebelum memutuskan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya disambung atau tidak.

Perkara demikian dimaklumkan Menteri (Kanan) Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media  perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), hari ini.

“Saya percaya Kementerian Kesihatan akan membuat penilaian dan analisis mengenai situasi di Selangor, di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

“Selepas penilaian dibuat biasanya begitulah prosedurnya Kementerian Kesihatan akan memberikan nasihat kepada sidang khas MKN (Majlis Keselamatan Negara) untuk membuat keputusan,” katanya.

Ismail Sabri berkata rakyat dinasihatkan terutama di kawasan PKPB bersabar menunggu pengumuman rasmi tersebut.

“Saya percaya, paling lewat pun satu hari sebelum tamat tempoh (PKPB) kita akan umumkan sama ada disambung atau ditamatkan.

“Kita tunggulah… kita tunggu lagi pengumuman yang akan dibuat,” katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Persekutuan mengumumkan pelaksanaan PKPB di Kuala Lumpur, Selangor, Putrajaya dan Labuan bermula 14 Oktober sehingga 27 Oktober berikutan peningkatan kes Covid-19.

 


Pengarang :