Kampus Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam. Foto Facebook UiTM Shah Alam
AGENDANASIONALPENDIDIKAN

UiTM kurangkan yuran konvokesyen bagi semua pengajian

SHAH ALAM, 29 OKT: Universiti Teknologi Mara (UiTM) memutuskan untuk mengurangkan yuran konvokesyen sesi ke-92 bagi semua peringkat pengajian yang akan berlangsung pada 1 Disember depan, susulan pandemik Covid-19.

Ketua Perhubungan Awam, Media, Protokol dan Pengurusan Acara Jabatan Komunikasi Korporat UiTM Nora Noordin berkata yuran yang dikenakan sebelum ini antara RM150 sehingga RM230 akan dikurangkan kepada RM110 sehingga RM190.

“Jumlah pengurangan yuran tersebut diberikan secara automatik kepada semua peringkat pengajian dari Diploma dan Ijazah, termasuk PhD bertujuan untuk mengurangkan beban kewangan yang perlu dibayar oleh graduan.

“Pengurusan tertinggi UiTM amat peka dengan situasi semasa yang sedang berlaku dan keputusan pengurangan ini antara pelbagai inisiatif dilakukan UiTM untuk membantu graduan,” katanya dalam kenyataan hari ini

Nora berkata langkah itu juga sebagai menyahut seruan Kementerian Pengajian Tinggi yang meminta agar pihak universiti prihatin dengan situasi pelajar yang terlibat.

Beliau berkata UiTM sebelum ini menangguhkan penganugerahan diploma dan ijazah secara janji temu dalam norma baharu yang dijadual pada 7 November kepada 1 Disember depan susulan peningkatan kes Covid-19 yang membimbangkan.

Justeru, katanya graduan diminta mengisi dan mendaftar semula untuk tarikh baharu melalui Sistem Janji Temu baharu di laman sesawang https://konvokesyen.uitm.edu.my bermula 26 Oktober hingga 8 November.

-BERNAMA

 


Pengarang :