Seorang pelajar UM menunggu giliran semasa proses penghantaran pulang ke kampung pada 6 Mei 2020. Foto Facebook UM
AGENDANASIONAL

UM tangguh daftar pelajar baharu, lama secara bersemuka

KUALA LUMPUR, 2 OKT: Universiti Malaya (UM) menangguhkan pendaftaran secara bersemuka bagi pelajar baharu dan lama ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak, kata Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Prof Ir Dr Abdul Aziz Abdul Raman.

Menerusi kenyataan hari ini, Abdul Aziz memaklumkan proses pendaftaran bagi pelajar berkenaan akan dilakukan secara dalam talian.

“Dengan mengambil kira situasi terkini kes positif Covid-19 yang meningkat, UM memutuskan supaya pendaftaran secara bersemuka atau fizikal bagi pelajar (baharu dan lama) ditangguhkan,” katanya.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) hari ini mencadangkan semua institusi pengajian tinggi (IPT) menangguhkan terlebih dahulu pendaftaran bersemuka pelajar baharu dan lama ke kampus yang dijadual bermula bulan ini.

Menterinya, Datuk Dr Noraini Ahmad turut mencadangkan penangguhan sama melibatkan pelajar dari kawasan yang dikelaskan sebagai zon merah jangkitan Covid-19.

Mengenai pelajar yang dalam perjalanan ke kampus, Abdul Aziz berkata pelajar berkenaan dibenarkan mendaftar di kolej kediaman atau menangguhkan perjalanan dan kembali semula ke kampus pada tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

“Pelajar-pelajar lama perlu menangguhkan kepulangan ke kampus dan mendaftar kursus secara dalam talian. Bagi pelajar yang berada di kampus dan sedang mengikuti pengajian akademik, mereka boleh kekal berada di kampus,” katanya.

Di Pulau Pinang, Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini memperkenalkan proses pendaftaran secara pandu lalu bagi pelajar baharu yang hanya mengambil masa tiga minit.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM Profesor Dr Aldrin Abdullah berkata, kaedah yang julung kali diperkenalkan itu merangkumi semua proses termasuk saringan kesihatan, pendaftaran dalam talian melalui MyDaftar, taklimat ringkas pembelajaran secara atas talian, sehinggalah ke urusan akhir menurunkan barang-barang di desasiswa (asrama).

“USM turut memperkenalkan MyDaftar iaitu satu sistem pendaftaran dalam talian yang hanya mengambil masa kurang dari lima saat. Ia satu sistem yang sangat inovatif dan pertama kali diperkenalkan di USM.

“USM cuba mengambil jalan terbaik dalam keadaan negara kembali berdepan dengan gelombang Covid-19 yang agak membimbangkan, dan cuba menyesuaikannya dengan langkah-langkah proaktif yang dapat memudahkan semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, USM mengambil langkah drastik dengan mengubah pelan asal untuk menjalankan pendaftaran secara bersemuka kepada pendaftaran dalam talian berkuatkuasa semalam untuk sidang akademik 2020-2021.

Aldrin Abdullah berkata pelajar baharu yang sudah dalam perjalanan ke kampus dibenarkan mendaftar dengan diberikan tiga pilihan utama iaitu mendaftar dan terus mengikut waris pulang ke rumah, mendaftar kemudian meletakkan barangan di asrama dan pulang atau mendaftar dan terus tinggal di asrama.

Hari pertama sesi pendaftaran pada pagi ini menyaksikan lebih 200 orang pelajar baharu mendaftarkan diri di kampus induk USM.

-BERNAMA


Pengarang :