Anggota polis dan tentera memeriksa pengguna motosikal yang melalui sekatan jalan raya susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika tinjauan di Jalan Kuching, Kuala Lumpur pada 14 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENDAEKONOMINASIONAL

UOB Bank: Kadar pengangguran 4.7-5.0 peratus, PKPB beri kesan pasaran buruh

KUALA LUMPUR, 14 OKT: United Overseas Bank (M) Bhd (UOB Bank) menjangkakan kadar pengangguran kekal tinggi antara 4.7 peratus dan 5.0 peratus pada bulan-bulan akan datang.

Bank itu dalam satu nota penyelidikan berkata, peningkatan kes jangkitan Covid-19 ketika ini dan perintah kawalan pergerakan yang diperketatkan di Sabah, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya akan memberikan kesan terhadap pemulihan pasaran buruh.

Ini berikutan negeri-negeri tersebut menyumbang 46 peratus daripada keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar negara dengan kira-kira 40 peratus jumlah pengangguran.

Jabatan Perangkaan Malaysia semalam mengumumkan keadaan pasaran buruh negara bertambah baik sedikit pada Ogos, dengan kadar pengangguran kekal pada 4.7 peratus.

Jabatan itu berkata kadar pengangguran yang stabil dicatatkan susulan peningkatan jumlah orang yang menyertai tenaga kerja yang mengimbangi bilangan penganggur yang turun sedikit sebanyak 3,500 orang.

Sementara itu, Kadar Penyertaan Tenaga Buruh meningkat kepada 68.4 peratus daripada 68.1 peratus pada Julai.

UOB Bank berkata peningkatan sederhana pekerjaan dan penurunan kecil kadar pengangguran itu seiring dengan data ekonomi lain termasuk pengeluaran pembuatan dan eksport, membayangkan pemulihan yang lebih perlahan pada Ogos.

“Ini susulan peningkatan mendadak antara Mei dan Julai semasa fasa permulaan semula dan pemulihan,” kata bank itu.

UOB Bank juga menjangkakan lebih banyak langkah-langkah dalam Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan pada 6 November, yang berkemungkinan termasuk lanjutan langkah semasa, termasuk subsidi upah dan bantuan tunai.

Langkah baharu itu juga mungkin termasuk sokongan kepada penggunaan, merangsang pelaburan, mempercepatkan pendigitalan, meningkatkan penciptaan peluang pekerjaan dan upah, selain menggalakkan kelestarian alam sekitar, kata bank itu.

-BERNAMA

 


Pengarang :