Rodziah Ismail bersama Maizatul Akasha Meor Mohamed Hafiz. Foto Facebook Rodziah Ismail
ADNSELANGOR

Wakil rakyat bimbing ADN Muda, beri peluang dekati masyarakat

SHAH ALAM, 27 OKT: Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga akan mendidik ADN Muda kawasan itu berhubung pembentukan dasar serta penyelesaian masalah rakyat.

Rodziah Ismail berkata Maizatul Akasha Meor Mohamed Hafiz juga dibimbing meneliti sebarang isu dan memberinya peluang mengikuti program kebajikan bagi menimba pengetahuan.

“Saya turut berkongsi pengalaman sepanjang menjalankan amanah rakyat dan pandangan tentang kemajuan telah dilaksanakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga,” katanya menerusi Facebook.

EXCO perumahan itu berkata beliau gembira dan teruja melihat aksi Maizatul ketika Program ADN Muda Selangor Virtual baru-baru ini.

“Saya mengalu-alukan kehadirannya untuk bersama merasai bekerja sebagai wakil rakyat DUN Batu Tiga dan yakini jika digilap dengan nilai yang baik, dia pasti akan melangkah jauh,” katanya.

Pada program dijalankan awal bulan ini, Maizatul, 19, dipilih sebagai pembahas terbaik sekali gus membawa pulang wang tunai RM500.


Pengarang :