Selangorkini
Saari Sungib (kiri) menziarahi penduduk setempat dan menghulurkan sumbangan. Foto Facebook Saari Sungib
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Wakil rakyat Hulu Kelang tekad majukan pelancongan

KEUNIKAN kuarza tulen di Permatang Kuarza Gombak Selangor (PKGS) berusia 200 juta tahun yang menyerlahkan landskap Hulu Kelang mahu dimanfaatkan oleh Ahli Dewan Negerinya.

Saari Sungib, 63, melihat jajaran mineral terpanjang di dunia iaitu sejauh 14 kilometer dengan lebar 200 meter mampu menjadikan Kampung Kemensah sebagai destinasi pelancongan apatah lagi kedudukannya dekat dengan ibu negara.

PKGS merangkumi Bukit Tabur yang terkenal dalam kalangan pendaki manakala Kampung Kemensah popular dengan kejernihan sungai dan kehijauannya. Selain itu, ada tarikan lain termasuk restoran makan dalam sungai dan Zoo Negara meski ada cadangan memindahkannya ke lokasi lain berikutan kedudukannya dihimpit pembangunan pesat.

Mesra dengan panggilan Pak Abu, beliau membuat perancangan dari segi pendakian dan kawal selia di PKGS tanpa menjejaskan alam sekitar. Itu selaras usaha mendapat pengiktirafan sebagai tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Beliau turut dibantu individu berkemahiran dalam bidang tertentu termasuk pendaki Gunung Everest, Azim Afif Ishak dan Lembaga Urus Air Selangor (Luas) selain pihak berkuasa lain.

“Kita sokong usaha Kerajaan Negeri memeliharanya dan pada masa sama menjana pendapatan. Contohnya mengehadkan kumpulan yang memasukinya dan denda bagi yang melakukan pencemaran. Selain itu, perlu ada pemandu arah khas yang diberi upah.

Saari Sungib

“Kampung Kemensah sesuai untuk pelancongan. Ada sungai cantik dan pelbagai aktiviti seperti menaiki ATV (kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi),” katanya kepada SelangorKini.

Menjadi wakil rakyat sejak 2008, Saari yang terkenal sebagai pemimpin mahasiswa semasa belajar di United Kingdom turut mementingkan kebajikan masyarakat. Beliau membelanjakan sebahagian besar RM800,000 peruntukan ADN kepada rakyat.

Turun padang

Ketika wabak Covid-19 memuncak Mac lalu, beliau di sebalik menghidap penyakit Parkinson tidak memperlahankan langkah, bahkan kerap turun padang bagi menghulurkan bantuan makanan asas kepada penduduk terjejas.

Saari juga tidak melupakan kepentingan aspek prasarana dan sering membangkitkannya kepada Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan agensi berkaitan.

Menjadi pembantu EXCO perumahan pada 2008, Saari mahir selok belok bidang itu dan menggunakan pengalamannya untuk membantu menyelesaikan isu rumah terbengkalai. Beliau juga menitik berat soal penempatan penduduk setinggan yang tapak kediaman mereka dibangunkan projek perumahan. Ada yang berpeluang membeli rumah dengan potongan harga atau menikmati pampasan.

Saari juga berharap Kerajaan Negeri memperkasakan pembangunan modal insan bagi melahirkan generasi yang mampu meneruskan kemajuan selain menambah baik kelemahan di Hulu Kelang yang disifatkannya agak ‘comot’.

“Comot kerana masih ada projek terbengkalai dan tidak siap-siap. Saya pun agak rimas juga melihatnya dan harap ia dapat diperbaiki lagi,” kata Pak Abu yang dua kali ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Mudah didekati, tokoh terkenal dengan Risalah Usrah dan pengasas Jamaah Islah Malaysia (JIM) juga sering dijemput menyampaikan ceramah motivasi dan takzirah kerana penerangannya jelas.

Kisah mengenai Saari turut dibukukan dengan judul ‘Abu Urwah: Legenda Tanpa Soroton’ tulisan Dr Hamdi Ibrahim yang dijangka dilancarkan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari di Perpustakaan Awam Selangor daerah Gombak pada Oktober ini.

(Maklumat tambahan) Penerima insentif DUN Hulu Kelang
– Skim Mesra Usia Emas: 4,808 orang
– Tabung Warisan Anak Selangor: 2,527 orang
– Skim Insurans Peduli Sihat: 1,386 orang
– Insentif Perkahwinan Belia: 604 pasangan

 


Pengarang :