Halimey Abu Bakar menyantuni penduduk dalam program Ziarah Rakyat di Kelana Jaya pada 20 Ogos 2020. Foto Facebook Halimey Abu Bakar
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Wakil rakyat Seri Setia tekad atasi isu miskin bandar

Ahli Dewan Negeri Seri Setia Halimey Abu Bakar berusaha mengatasi masalah kemiskinan bandar di beberapa kawasan di Petaling Jaya.

Justeru, beliau menganjurkan pelbagai program untuk meningkatkan pendapatan mereka terutama di Desa Ria, Desa Mentari Kampung Lindungan, Lembah Subang dan Ladang Glenmarie.

Beliau berkata golongan berpendapatan bawah RM2,000 terpaksa membuat kerja sampingan termasuk berniaga dalam talian, berjualan tepi jalan dan mengambil upah menjaga anak-anak jiran.

“Jadi saya bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) berikhtiar mencari jalan untuk mendapat lesen niaga, kursus perniagaan dan pinjaman melalui skim mikrokredit Hijrah Selangor dan Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan,” katanya kepada SelangorKini.

Sebenarnya, kerja menyalur bantuan kepada penduduk miskin bandar dipikulnya sejak menjadi ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) lagi. Kedudukannya sebagai wakil rakyat melicinkan lagi usaha itu.

Halimey percaya masalah pembangunan tidak seimbang antara punca khususnya di Kelana Jaya dan Ara Damansara. Sebab itu, katanya, di celah-celah kawasan gah terselit perumahan kos rendah Program Perumahan Rakyat (PPR) yang serba-serbi terpinggir.

Selain itu, beliau menubuhkan perpustakaan komuniti dan medan selera di Kampung Lindungan untuk kemudahan penduduk.

Beliau juga tidak lupa isu kekurangan tapak letak kenderaan di beberapa perumahan yang menjadi punca orang ramai disaman polis dan MBPJ.

“Saya sudah merayu MBPJ dan polis supaya jangan kerap saman mereka yang mendiami kawasan padat seperti Desa Mentari. Tambahan pula tempat letak kereta mereka tidak tersusun.

“Pada masa sama, saya juga berharap penduduk memainkan peranan dengan tidak meletakkan kenderaan sesuka hati atau menggunakan petak persendirian milik orang lain,” katanya.

Halimey turut menyeru PBT supaya mengatasi masalah kerosakan kelengkapan prasarana termasuk jalan berlubang dan lampu jalan.

Tunai janji

Beliau juga memuji agensi berkaitan termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor yang cekap menangani masalah pembuangan sampah haram di lereng sungai Taman TTDI Jaya dan Taman Mesra.

Halimey Abu Bakar menyantuni penduduk di sekitar DUN Seri Setia baru-baru ini. Foto Facebook Halimey Abu Bakar

“Cuma saya harap tindakan perlu dikenakan kepada pemaju yang membiarkan tanah-tanah tidak dibangunkan hingga menyebabkan ia tidak terurus dan kotor,” katanya.

Halimey turut menunaikan kebanyakan janji manifesto pilihan raya kecil pada 8 September 2018 antaranya projek menaik taraf tadika dan pusat prasekolah yang berusia lebih 15 tahun di Seri Setia.

Beliau juga memandang tinggi usaha Dato’Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari yang mahu menjadikan Selangor negeri maju. Beliau berharap penduduk Seri Setia mengambil kesempatan itu supaya tidak ketinggalan.

“Kita tahu teknologi maklumat bidang yang paling berkesan terutama untuk anak-anak muda atau remaja, jadi untuk menjadi negeri maju, perkara ini mesti ditekankan Kerajaan Negeri,” katanya.

 
Bantuan lain:

– Membaik pulih tangki air lama di Lembah Subang
– Membina gerai dan kios di Petaling Jaya Selatan
– Membantu usahawan kecil mendapatkan dana usahawan mikro
– Sumbangan kit pengurusan jenazah ke semua surau

 


Pengarang :