Penduduk SS20, Petaling Jaya mendapatkan bekalan air daripada lori yang mengangkut tangki yang disediakan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bandar Utama pada 20 Oktober 2020. Foto Facebook Jamaliah Jamaluddin
ADNSELANGOR

Wakil rakyat sewa lori, angkut bekalan air kepada penduduk Bandar Utama

SHAH ALAM, 20 OKT: Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama menyewa lori bagi mengangkut tiga tangki air untuk diagih kepada penduduk sementara bekalan pulih sepenuhnya.

Ahli Dewan Negeri Jamaliah Jamaluddin berkata pihaknya menyediakan empat tangki yang mampu menampung 400 gelen air dan inisiatif ini digerakkan sejak semalam.

“Kami faham Air Selangor kekurangan lori tangki. Semalam baru kita dapat satu lori (tangki) sahaja dan ia tidak cukup untuk menampung keperluan kerana di DUN Bandar Utama ada enam zon dan di bawahnya ada banyak taman perumahan.

“Jika satu lori tangki masuk pastinya ia akan berada di sana hampir tiga jam. Ia tidak mampu menampung keperluan semua kerana kita anggarkan hanya satu atau dua kawasan besar sahaja akan dapat air,” katanya ketika dihubungi.

Beliau menjelaskan sebuah lori mampu membawa tiga tangki air berkapasiti 400 gelen dengan tumpuan agihan kini di kawasan kritikal memandangan hampir 60 peratus kawasan DUN itu mendapat bekalan sepenuhnya.

Jamaliah berkata inisatif berkenaan digerakkan di kawasan perumahan SS4, SS20, SS21 dan SS23.

“Kita berhasrat untuk menambah jumlah tangki selepas ini. Memandangkan bekalan air kian pulih kita tidak mahu ambil risiko untuk menyewa lebih banyak lori ketika ini,” katanya.

Gangguan bekalan air tidak berjadual membabitkan 1,292 kawasan berlaku ekoran henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang berikutan pencemaran pada 19 Oktober.


Pengarang :