Penumpang Bas Smart Selangor berbaris dan mengenakan pelitup muka sebelum menggunakan perkhidmatan percuma itu di Seksyen 13, Shah Alam pada 2 Ogos 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Warga asing bayar caj Bas Smart Selangor guna ‘Tap to Ride’

SHAH ALAM, 23 OKT: Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) bakal memperkenal sistem “Tap to Ride” sebelum akhir tahun bagi warga asing yang menggunakan perkhidmatan Bas Smart Selangor.

Pengarah urusannya berkata sistem pintar tersebut membolehkan pengguna membuat bayaran tambang melalui kad atau mengimbas kod QR yang disediakan sebelum menaiki bas.

“Penggunaan sistem ini membolehkan bayaran dibuat dengan lebih senang dan pantas, manakala warganegara hanya perlu menunjukkan kad pengenalan untuk menaiki bas secara percuma.

“Usaha SSDU selaras hasrat untuk mewujudkan masyarakat Selangor tanpa tunai serta ke arah Negeri Pintar menjelang 2025,” kata Dr Fahmi Ngah ketika dihubungi hari ini.

Pada 1 November tahun lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata caj RM1 dikenakan kepada warga asing yang menggunakan bas percuma itu bagi menyelenggara dan menambah laluan bas.

Sebanyak 130 buah Bas Smart Selangor beroperasi setakat ini di 41 laluan seluruh negeri.


Pengarang :