ADN Muda Bandar Utama, Lim Yue Kin ketika Sesi Perbahasan Program ADN Muda Secara Maya di Dewan Annexe, Shah Alam pada 3 Oktober 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
SELANGOR

Wujud sistem catuan air, pastikan pengguna terjejas terima bekalan

SHAH ALAM, 3 OKT: Kerajaan Negeri diminta mewujudkan sistem catuan air lebih sistematik bagi membolehkan semua pengguna terjejas mendapat bekalan semasa gangguan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Muda Bandar Utama berkata ribuan penduduk tidak mendapat akses bekalan semasa penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor dan Rantau Panjang baru-baru ini meskipun bantuan lori tangki dan Pusat Khidmat Setempat (PKS) disalurkan.

“Bagi memperbaiki sistem agihan ini, kita perlu kenal pasti golongan kritikal dan di mana mereka berada contohnya hospital, klinik kerajaan, pusat jagaan kanak-kanak, rumah kebajikan orang tua, orang kelainan upaya (OKU) serta sekolah.

“Keutamaan perkhidmatan lori tangki dan bantuan air lain harus diberikan di lokasi-lokasi tersebut untuk mengurangkan komplikasi lain,” kata Lim Yue Kin ketika membahaskan usul Kluster Perkhidmatan Air pada Program ADN Muda Virtual hari ini.

Beliau turut mencadangkan PKS diwujudkan di lokasi padat dengan penduduk yang tidak mempunyai punca air alternatif seperti Flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan pangsapuri kos rendah.

Menurut Yue Kin rata-rata penghuni perumahan terbabit daripada golongan B40 yang tidak mempunyai tangki air peribadi mahupun keupayaan membeli air mineral dalam kuantiti besar.

“Bagi memastikan keadilan kepada semua, kuantiti bantuan air dihadkan kepada 20 liter seorang sehari untuk kegunaan memasak dan minum,” katanya.


Pengarang :