Petugas Kesihatan Selcare memasukkan sampel ujian individu pulang dari Sabah ke dalam beg saringan Covid-19 di Klinik Selcare, Shah Alam pada 4 Oktober 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Zon merah: Sekolah di Klang tidak ditutup, hanya kelas kontak rapat – JPN

SHAH ALAM, 7 OKT: Sesi persekolahan di Klang berjalan seperti biasa walaupun daerah tersebut dikategorikan zon merah susulan peningkatan kes Covid-19, kata pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor.

Izmi Ismail berkata setakat ini pihak kesihatan daerah (PKD) hanya menasihati menutup kelas melibatkan dua sekolah kerana guru dan pelajarnya mempunyai kontak rapat dengan individu positif.

“JPN telah menutup tujuh kelas iaitu masing-masing satu kelas Tingkatan Lima dan Tingkatan Satu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pendamaran Jaya dan lima kelas Tahun Enam di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Sri Andalas.

“Pelajar dan guru SMK Pendamaran Jaya sedang menjalani kuarantin 14 hari bermula Rabu lepas manakala SK Taman Sri Andalas pula bermula Sabtu lepas,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Berhubung kebimbangan ibu bapa untuk menghantar anak ke sekolah, beliau berkata keputusan menutup sekolah tertakluk kepada nasihat PKD yang memantau penularan wabak tersebut.

“JPN hormati pendirian ibu bapa yang tidak yakin dengan keselamatan anak mereka sehingga menyebabkan kehadiran pelajar di sekolah negeri ini merosot.

“Sebagai langkah pencegahan kita melakukan proses sanitasi di kelas terlibat dan kawasan sekitarnya, malah JPN dengan kerjasama agensi berkaitan akan memantau keadaan dari semasa,” katanya.

Setakat semalam, Selangor mencatatkan 232 kes aktif dengan Klang merekodkan 77 kes.


Pengarang :