AGENDAJENAYAH

10 ahli sindiket tipu pelaburan ditahan – polis

KUALA LUMPUR, 24 NOV: Menggunakan akaun bank individu berpendapatan rendah, satu sindiket kegiatan keldai akaun mampu meraih keuntungan besar dengan menggunakan akaun itu bagi kegiatan penipuan pelaburan tidak wujud dan aktiviti jenayah.

Ahli sindiket itu akan mempengaruhi ‘pelabur’ bagi mengaut keuntungan lumayan mencecah RM5,000 hingga RM10,000 sebulan, dan selepas berjaya memperdaya mangsa untuk memasukkan wang ke dalam akaun tersebut, mereka mengeluarkan wang tersebut menerusi kad mesin juruwang automatik (ATM) yang diperolehi daripada pemilik akaun yang tidak menyedari akaun mereka digunakan untuk penipuan.

Tindakan 10 ahli sindiket itu terbongkar selepas ditahan dalam serbuan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor pada 5 hingga 10 Nov lalu.

Pengarah JSJK Bukit Aman Datuk Zainuddin Yaacob berkata kesemua suspek yang ditahan berumur 20 hingga 32 tahun, dan ahli sindiket itu bertindak memperolehi kad ATM terbabit daripada orang awam dengan harga lingkungan RM500 hingga RM800 bagi setiap akaun yang dibeli.

“Penahanan dibuat ke atas tujuh lelaki dan tiga wanita warga tempatan dipercayai menggunakan akaun diperolehi daripada orang awam yang kemudiannya disusuli aktiviti penipuan,” katanya pada sidang media khas JSJK, di sini, semalam.

Zainuddin berkata ahli sindiket itu juga didapati menyewa kondominium dengan bayaran sewa antara RM3,000 hingga RM5,000 sebulan bertujuan mengelak kegiatan mereka daripada dikesan pihak berkuasa.

“Susulan penahanan itu, polis telah menerima sebanyak 32 laporan melibatkan kes-kes keldai akaun di seluruh negara melibatkan kerugian dianggar bernilai RM1.2 juta.

“Kesemua suspek disiasat di bawah Seksyen 424 Kanun Keseksaan kerana dipercayai terbabit dalam kes penipuan wang dan kini kesemua suspek ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 selama 21 hari,” katanya.

Dalam kes berasingan, pihak JSJK turut menahan seramai 10 individu tempatan disyaki terbabit dengan sindiket pelaburan EssenceFX (Forex) dalam serbuan empat lokasi berasingan di sekitar Lembah Klang pada 19 Nov yang lepas.

“Suspek yang ditahan berumur 25 hingga 42 tahun terdiri daripada lapan lelaki, dan seorang wanita warga tempatan selain seorang wanita warga Indonesia yang merupakan teman wanita kepada ketua sindiket dikenali sebagai ‘Joe Kedah’.

“Pihak polis terdahulu menerima 72 laporan melibatkan kerugian RM20.5 juta dialami oleh mangsa-mangsa yang mengaitkan sindiket ini,” katanya.

Zainuddin berkata sindiket berkenaan dipercayai bergiat aktif seawal 2019 hingga Februari tahun ini dengan bertindak mendorong mangsa untuk melabur Forex selain menjanjikan keuntungan lima hingga lapan peratus setiap bulan melalui platform EssenceFX menggunakan aplikasi ‘Metatrade 4’.

“Mangsa hanya menyedari telah ditipu selepas laman web itu tidak dapat diakses lagi. Susulan penahanan dibuat, kesemua suspek direman selama lima hari sehingga 24 Nov ini,” katanya.

Beliau berkata kesemua mereka disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA).

Selain itu, polis turut merampas 10 kereta mewah, 17 telefon bimbit, 11 unit komputer, wang tunai RM10,000 serta lain-lain peralatan digunakan dalam kegiatan terbabit.

– BERNAMA


Pengarang :