Universiti Malaya (UM) berada di tempat kesembilan universiti terbaik Asia menurut Ranking Universiti Dunia Quacquarelli Symonds (QS) : Asia 2021 yang dikeluarkan pada 25 November 2020. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONALPENDIDIKAN

10 universiti tempatan dalam kelompok 110 terbaik Asia

PUTRAJAYA, 25 NOV: Sepuluh universiti tempatan terdiri daripada tujuh universiti awam dan tiga universiti swasta – berada dalam kelompok 110 universiti terbaik Asia berdasarkan laporan Ranking Universiti Dunia Quacquarelli Symonds (QS) : Asia 2021.

Menurut laporan QS yang dikeluarkan hari ini, Universiti Malaya (UM) mendahului universiti lain dengan berada di tempat kesembilan, diikuti Universiti Putra Malaysia ke-28, Universiti Sains Malaysia (ke-34) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (ke-35).

Universiti Teknologi Malaysia di tempat ke-39, Universiti Teknologi Petronas (ke-70), Taylor’s University (ke-89), Universiti UCSI (ke-105), Universiti Utara Malaysia (ke-107) dan Universiti Teknologi Mara (ke-108).

“Kejayaan ini merupakan kejayaan terbaik negara setakat ini dan membuktikan bahawa hala tuju Pendidikan Tinggi Negara berada di atas landasan yang betul,” kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dalam satu kenyataan hari ini mengenai pencapaian berkenaan.

Noraini berkata kejayaan itu juga secara tidak langsung akan terus menempatkan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi di rantau Asia dan dapat membantu institusi dalam menjalinkan kerjasama dengan penyelidik terkemuka dunia.

Noraini berkata UM buat kali pertamanya telah berjaya disenaraikan sebagai 10 universiti terbaik di Asia dalam penarafan kali ini dengan mendapat tempat kesembilan berbanding tempat ke-13 pada penarafan tahun lepas.

UM juga, menurutnya berjaya mengatasi Shanghai Jiao Tong University yang menduduki tempat-10 dalam penarafan tahun ini.

Shang Jiao Tong University merupakan universiti terkemuka yang memperkenalkan Ranking Akademik Universiti-universiti Dunia atau lebih dikenali sebagai “Shanghai Jiao Tong University Rankings” yang menilai kekuatan penyelidikan universiti di seluruh dunia.

Pada siri penarafan kali ini, 35 universiti tempatan tersenarai iaitu pertambahan enam universiti berbanding dengan 29 universiti yang tersenarai pada tahun lepas, katanya.

“Sebanyak 24 universiti berjaya memperbaiki kedudukan berbanding tahun lepas, tiga buah universiti mengekalkan kedudukan dan dua buah universiti jatuh dari kedudukan tahun lepas,” katanya.

Dalam laporan QS itu juga menyatakan Malaysia merupakan antara negara yang menunjukkan peningkatan terbaik di dalam penarafan kali ini, katanya.

“Sistem pendidikan negara diterima sebagai bereputasi tinggi di kalangan akademik dan majikan di peringkat Asia,” katanya.

Noraini berkata 2020 merupakan separuh penggal pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) (PPMPT) dan telah menunjukkan peningkatan kualiti dan kecemerlangan institusi pendidikan tinggi tempatan dalam tempoh yang singkat.

-BERNAMA

 


Pengarang :