AGENSISELANGOR

100 sertai ‘Zero To Hero’, langkah awal ceburi bidang niaga

SHAH ALAM, 20 NOV: Hampir 100 individu menyertai program ‘Zero To Hero’ sebagai langkah menjana pendapatan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksana Mac lalu.

Pemangku ketua pegawai eksekutif Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) berkata peserta terdiri dari pelbagai latar belakang termasuk golongan terkesan pandemik Covid-19.

“Sebanyak 98 permohonan diterima hingga Oktober. Bilangan ini meningkat 2.8 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Sejak ditubuhkan 2016 hingga bulan lalu, 694 peserta menyertai program ini dengan melibatkan 56 syarikat bertanggungjawab memberi latihan dan kursus kepada peserta mengikut kepakaran bidang masing-masing,” kata Normaiza Yahya kepada SelangorKini hari ini.

Dengan dibantu syarikat pakar dan berkebolehan, beliau menasihati peserta mengenal pasti minat serta kecenderungan terlebih dahulu bagi memudahkan potensi diri dikembangkan serta menjamin kejayaan dalam perniagaan diceburi.

Program ‘Zero To Hero’ melaksanakan konsep melatih dan memantau peserta yang dikendalikan syarikat peneraju terpilih.

Selepas tamat tempoh, peserta layak diberi peluang membuat permohonan pinjaman HIJRAH sementara syarikat peneraju membekalkan peralatan dan bahan perniagaan.


Pengarang :