Keadaan banjir yang berlaku di Kampong Harmoni Ijok pada 20 November 2020. Foto: Mohd Ezli Mashut
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

137 mangsa termasuk penghuni rumah orang tua terjejas banjir di Selangor

SHAH ALAM, 21 NOV: Seramai 137 orang termasuk penghuni rumah orang tua terjejas banjir di Selangor setakat 12 tengah hari tadi berikutan hujan lebat berterusan sejak Rabu lepas menyebabkan beberapa kawasan di Kuala Selangor dan Sepang dinaiki air.

Pegawai Operasi Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) Selangor Muhammad Izzat Haziq Mohd Nazir berkata kesemua mereka ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu tiga di Mukim Ijok, Kuala Selangor dan satu di Sepang.

“Seramai 43 mangsa daripada 10 keluarga melibatkan penduduk Jalan Haji Ehsan Off Jalan Parit Mahang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Ijok manakala PPS Dewan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) Desa Coalfields pula menempatkan 25 mangsa daripada sembilan keluarga dari Kampung Sri Aman dan Kampung Seri Sentosa dan PPS SK Parit Mahang menempatkan 52 penghuni Rumah Orang Tua Al-Jashiera.

“PPS Sekolah Rendah Agama Labu Lanjut, Sepang menempatkan 17 mangsa daripada tiga keluarga dari Kampung Giching,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Muhammad Izzat Haziq berkata UPBN Selangor akan meneruskan pemantauan dan menggerakkan agensi berkaitan di peringkat daerah untuk segera memindahkan mangsa banjir ke PPS khususnya di kawasan berisiko tinggi.

Dalam perkembangan sama, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kuala Selangor Kapt (PA) Shaiful Azril Zainal berkata PPS SK Parit Mahang yang dibuka pada Khamis lepas hanya untuk menempatkan 52 penghuni Rumah Orang Tua Al-Jashiera, Ijok sahaja.

Menurut beliau, penghuni rumah berkenaan tidak ditempatkan bersama-sama dengan penduduk setempat sebagai usaha Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kuala Selangor mengurangkan kebarangkalian berlakunya penularan Covid-19 dan mengambil kira faktor kesihatan mereka.

Jabatan Meteorologi Malaysia sebelum ini memaklumkan kejadian ribut petir, hujan lebat berserta angin kencang dijangka berlaku lebih menyeluruh terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di negeri-negeri pantai barat Semenanjung serta di barat Sabah dan barat Sarawak sepanjang fasa pertama Monsun Timur Laut sehingga hujung Disember ini.

-BERNAMA

 


Pengarang :