Exco Kerajaan Tempatan, Ng Sze Han melihat pelekat sitaan yang ditampal penguatkuasa Majlis Perbandaran Selayang (MPS) di sebuah premis disyaki menjadi punca pencemaran Sungai Selangor di sekitar Sungai Gong, Rawang pada 11 November 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

17 bengkel sekitar punca pencemaran Sungai Selangor diarah tutup, denda RM1,000

RAWANG, 11 NOV: Sebanyak 17 bengkel sekitar premis yang menjadi punca pencemaran Sungai Selangor semalam diarah tutup serta-merta hari ini.

EXCO kerajaan tempatan berkata pemilik premis turut dikenakan kompaun RM1,000 selepas lesen operasi mereka didapati tamat tempoh.

“Sekiranya didapati melanggar syarat, pemilik boleh dikenakan hukuman lebih berat mengikut Akta Alam Sekitar.

“Kebanyakan premis ini menjalankan bengkel atau mengendali mesin jentera yang berisiko menyebabkan pencemaran,” kata Ng Sze Han kepada pemberita selepas meninjau kawasan perindustrian Taman Velox dekat sini hari ini.

Beliau berkata operasi pantauan dilakukan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Lembaga Urus Air Selangor (Luas) itu turut memeriksa 45 premis lain.

“Premis yang tutup ini dibenarkan beroperasi semula selepas memperbaharui lesen serta memenuhi syarat ditetapkan.

“Berikutan itu pantauan akan dilakukan lebih kerap bagi memastikan semua pemilk premis mengikut arahan,” katanya.


Pengarang :