Orang awam mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan memakai pelitup muka semasa berada di tempat awam ketika tinjauan di sekitar Bandar Klang pada 15 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENSISELANGOR

189 kes, Klang kembali catat jangkitan Covid-19 tertinggi

SHAH ALAM, 17 NOV: Klang kembali mencatat kes harian Covid-19 tertinggi di negeri ini dengan 189 jangkitan, 132 daripadanya dikesan daripada kluster Teratai.

Bilik Gerakan Negeri Selangor (BGNS) dalam laporan berkata pertambahan 151 kes mengatasi Hulu Langat yang merekodkan angka tertinggi semalam.

Katanya, sebanyak 145 kes baharu hari ini dikesan di mukim Kapar dan 44 di mukim Klang.

“Kuala Langat merekodkan 33 kes membabitkan mukim Tanjung Dua Belas (2) dengan 28 jangkitan, empat kes di mukim Tanjung Dua Belas (1) dan mukim Telok Panglima Garang satu kes.

“Petaling merekodkan 24 kes dengan lapan daripadanya di mukim Sungai Buloh, mukim Damansara (lapan), Petaling (lima) dan Bukit Raja (tiga),” menurut BGNS.

Agensi memaklumkan Hulu Langat pula mencatatkan lima kes dengan kesemuanya dikesan di mukim Kajang manakala Kuala Selangor merekodkan empat kes di mukim Ijok.

Menurutnya, tiga kes dilaporkan di Sepang dengan dua daripadanya dikesan di mukim Labu dan baki di mukim Dengkil manakala satu kes di Gombak melibatkan mukim Batu.

Sementara itu, sebanyak 88 pesakit dibenarkan keluar hospital hari ini dan tiada kematian direkodkan. Hulu Langat dan Klang mencatat kes sembuh tertinggi iaitu 23 kes.


Pengarang :