EXCO Kerajaan Negeri Mohd Khairuddin Othman bercakap kepada media pada program Jelajah Selangor Bekerja 2020 di Stadium Tertutup Kuala Selangor pada 15 November 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

20 peserta jelajah kerjaya hadir temu duga dapat kerja

SHAH ALAM, 16 NOV: Seramai 20 peserta yang menghadiri temu duga Program Jelajah Selangor Bekerja di Stadium Tertutup Kuala Selangor semalam, diterima bekerja.

EXCO pembangunan generasi muda berkata mereka diterima bekerja dalam sektor perkhidmatan, perindustrian serta makanan dan minuman.

“Penganjur hanya memanggil dalam lingkungan 100 orang sahaja hadir temu duga susulan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN), jika diikutkan bilangan pemohon mencecah ribu.

“Program tersebut menawarkan lebih 2,000 peluang pekerjaan melibatkan 13 syarikat. Kita akui sedikit kecewa namun akur arahan MKN demi keselamatan semua pihak,” kata Mohd Khairuddin Othman kepada SelangorKini hari ini.

Beliau berkata Kerajaan Negeri akan mengemukakan rayuan kepada MKN supaya had peserta program kerjaya dibuat berdasarkan keluasan lokasi penganjuran.

“Contohnya jika program diadakan di stadium, bilangan peserta sepatutnya boleh ditambah sehingga 200 orang atau lebih sebab ruang luas,” katanya.

Program Jelajah Selangor Bekerja 2020 anjuran Kerajaan Selangor menerima 9,969 permohonan sejak pendaftaran dibuka pada 15 September.

Lebih 90 syarikat menyertai jelajah di lima lokasi bermula di Kuala Selangor semalam, diikuti Gombak (21 November), Paya Jaras (22 November), Hulu Langat (29 Disember) dan Shah Alam (5 dan 6 Disember).

Antara peluang pekerjaan ditawarkan ialah pensyarah, tutor al-Quran, pengurus jualan, pegawai penyelidik, juruteknik, operator pengeluaran, operator panggilan pemandu traktor terminal dan penjaga stor.


Pengarang :