SELANGOR

29 individu disyaki terlibat aktiviti jenayah ditangkap – polis

SHAH ALAM, 5 NOV: Seramai 29 suspek disyaki terlibat aktiviti gengsterisme dan jenayah terancang ditahan polis dalam operasi besar-besaran susulan kejadian tembak di hadapan sebuah sekolah di Banting pada 25 September lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor Datuk Fadzil Ahmat berkata operasi besar-besaran itu dilakukan pihaknya dengan JSJ Bukit Aman di sekitar negeri tersebut baru-baru ini.

Beliau berkata kertas siasatan kes berkaitan juga telah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara pada 27 Okt lepas untuk dinilai bagi mendakwa kesemua suspek berkaitan jenayah terancang.

“Kejayaan untuk mendakwa kesemua suspek itu nanti diharapkan dapat mengekang dan menghapuskan aktiviti berunsurkan gengsterisme serta jenayah terancang di sekitar Banting, Kuala Langat dan seterusnya di seluruh negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kejadian pada 25 September itu, seorang ahli perniagaan dan pengawal peribadinya cedera di dada dan beberapa bahagian badan akibat ditembak dua suspek menaiki sebuah motosikal di Jalan Sultan Abdul Samad, Banting.

Dalam kejadian kira-kira 12.45 tengah hari itu, tiga pelajar sekolah menengah turut cedera akibat dirempuh kereta jenis BMW yang dinaiki kedua-dua mangsa.

– BERNAMA


Pengarang :