AGAMAAGENDANASIONAL

300,000 individu gagal tunai tanggungjawab, LZS giat kempen kesedaran

SHAH ALAM, 24 NOV: Seramai 300,000 individu layak membayar zakat di negeri ini gagal menunaikan tanggungjawab tersebut, kata ketua pegawai eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Saipolyazan M Yusop berkata pihaknya mempergiat kempen kesedaran dalam kalangan masyarakat berhubung kewajipan membayar zakat di negeri mereka memperoleh harta atau pendapatan.

“Kempen MY2.5 iaitu membayar zakat sebanyak 2.5 peratus daripada pendapatan atau harga akan dijalankan sepanjang Disember selain kempen zakat digital menerusi EZakatPay, perbankan internet, portal MyEG, Pos Online, e-dompet GoPayz serta Boost.

“Zakat ini besar maknanya kepada asnaf, fakir dan miskin, jadi kita berharap lebih ramai golongan layak tampil membayar zakat,” katanya pada sidang media di Pejabat LZS Presint ALAMi Seksyen 13 semalam.

Beliau berkata LZS menjangka bilangan layak menerima zakat meningkat kepada 80,000 keluarga menjelang hujung tahun susulan Covid-19.

“Pada tahun lepas kita berjaya mengutip zakat sejumlah RM868 juta dan pada tahun ini jumlahnya perlu tinggi kerana bilangan keluarga asnaf meningkat,” katanya.

Pada 11 Julai LZS menurunkan sasaran kutipan zakat dari RM855.1 juta kepada RM800 juta akibat penularan Covid-19.

Tahun lalu, zakat perniagaan dan pendapatan menyumbang sebanyak 78 peratus daripada jumlah keseluruhan kutipan di Selangor.

 


Pengarang :