AGENDABERITA UTAMANASIONAL

992 juta liter air dilepaskan ke Sungai Selangor, atasi cemar

SHAH ALAM, 10 NOV: Sebanyak 992 juta liter sehari (JLH) air dilepaskan ke Sungai Selangor bagi mencairkan pelarut yang mencemari sumber air mentah itu.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata 300 JLH dilepaskan dari Empangan Sungai Selangor manakala 500 JLH dari Empangan Sungai Tinggi.

“Kapasiti 192 JLH air lagi dipam dari kolam KL Larut diuruskan Lembaga Urus Air Selangor (Luas).

“Air Selangor memahami situasi pengguna yang berdepan kes Covid-19 serta Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika ini dengan menjalankan usaha bagi meminimumkan impak gangguan,” kata Ketua komunikasi korporatnya, Elina Baseri dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata susulan pencemaran itu, Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang, Sungai Selangor Fasa 1,2 dan 3 ditutup jam 6 petang ini.

Henti tugas itu dijangka memberi kesan gangguan air tidak berjadual kepada lebih 1.1 juta pemegang akaun di 1,279 kawasan sekitar Kuala Lumpur, Petaling, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

“Setakat 2.30 petang tadi, pencemaran muka sauk LRA Rantau Panjang pada tahap 8 TON (ukuran kadar bau) manakala LRA Sungai Selangor Fasa 1,2 dan 3 mencatatkan 4 TON,” katanya.


Pengarang :