Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sidang Dewan Rakyat membahaskan Belanjawan 2021. Foto: Facebook Anwar Ibrahim
AGENDANASIONAL

Belanjawan: Anwar minta lebih ramai ahli parlimen dibenar ke sesi penggulungan

SHAH ALAM, 23 NOV: Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun membenarkan lebih ramai ahli parlimen menyertai perbahasan dan penggulungan Belanjawan 2021 yang bermula hari ini.

Ahli Parlimen Port Dickson berkata cadangan tersebut memastikan ahli parlimen mendengar sendiri jawapan diberikan menteri berhubung isu dibangkitkan mereka dalam sesi terdahulu.

“Jumlah dibenarkan hanyalah 80 ahli parlimen, kita minta kelonggaran lebih lagi bagi memastikan mereka dapat mendengar sendiri jawapan diberikan menteri,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, Azhar berkata pihaknya akan berbincang dengan ketua whip berhubung cadangan ketua pembangkang.

“Kita mungkin meminta ketua whip memastikan ahli parlimen yang berkaitan dengan sesuatu isu dibenarkan masuk dalam kalangan 80 orang ketika penggulungan,” katanya.

Pada 5 November, Azhar berkata seramai 80 ahli parlimen dibenarkan berada dalam Dewan Rakyat susulan penularan Covid-19.

Katanya, pecahan pembahagian ahli parlimen adalah 41 dari pihak kerajaan dan 39 lagi adalah pembangkang serta bebas.


Pengarang :