Michelle Ng menjawab pertanyaan media dalam suatu program kebajikan di SS14, Subang Jaya pada 7 November 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

ADN Subang Jaya sumbang hampir RM20,000 naik taraf kantin sekolah

SUBANG JAYA, 7 NOV: Hampir RM20,000 diperuntukkan bagi menaiktaraf kantin Sekolah Kebangsaan Sri Subang Jaya, di sini demi keselesaan warganya.

Wakil rakyatnya, Michelle Ng berkata bantuan pihaknya membolehkan bilik stor sebelum ini diubah suai menjadi ruang makan untuk kegunaan lebih 30 guru.

“Sebelum ini guru berkongsi ruang rehat bersama pelajar dan mungkin mendatangkan rasa kurang selesa kerana perlu berhimpit.

“Melalui bantuan ini, bilik stor diubah suai selain tingkap, lampu, kipas serta warna dinding ditukar baharu. Ruang lebih luas dan memudahkan urusan guru,” katanya kepada pemberita hari ini.

Michelle berkata pihaknya bersedia membantu sekolah yang mempunyai masalah kemudahan demi kepentingan pelajar dan guru.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah berkenaan, Helmi Izzudin Hashim menghargai bantuan terbabit.

“Sumbangan ini pasti memberi keselesaan kepada pelajar dan guru. Pelajar lebih selesa dengan ruang rehat yang luas,” katanya.

 


Pengarang :