Selangorkini
Pekerja membaik pulih tebing runtuh di Pantai Morib, Kuala Langat berikutan fenomena air pasang besar pada 19 September 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Air pasang besar: Penduduk dinasihat hentikan sementara aktiviti pantai

SHAH ALAM, 9 NOV: Penduduk berhampiran pesisir pantai diminta menghentikan semua aktiviti air berikutan fenomena air pasang besar dijangka pada 15 dan 16 November.

Pegawai operasi Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) berkata persiapan rapi dibuat bagi berdepan kejadian ketiga itu yang akan mengakibatkan banjir jika hujan lebat.

Muhammad Izzat Haziq Mohd Nazir menasihatkan semua pihak mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) terutama di pusat pemindahan sementara memandangkan fenomena kali ini berlaku ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Contohnya, jika sebelum ini kira-kira 20 keluarga boleh ditempatkan dalam sebuah dewan, mungkin kita akan kurangkan jumlah itu untuk mewujudkan penjarakan fizikal dan susun atur khemah,” katanya ketika dihubungi.

Limpahan air laut susulan fenomena air pasang besar di Pelabuhan Klang pada 20 September 2020. Foto Pusat Khidmat Rakyat Pelabuhan Klang

Beliau menjelaskan UPBN mengenal pasti beberapa pusat pemindahan jika fenomena air pasang besar menjejaskan kawasan berpenduduk di Klang, Kuala Langat, Sepang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

Muhammat Izzat Haziq berkata pihaknya meninjau secara berkala beberapa lokasi yang diramal dilanda fenomena tersebut selain menggunakan dron dan membina beberapa benteng tambahan.

Kejadian air pasang besar dengan ketinggian air laut mencecah hingga 5.8 meter, dijangka tertinggi dalam tempoh 20 tahun.

Tahun ini, ia berlaku pada 19 dan 20 September, 17 hingga 19 Oktober dan 15 hingga 16 November.

Berikut senarai pusat pemindahan dan nombor perhubungan bilik gerakan daerah:

1) Sepang (03-8706 4613)
Pusat pemindahan: Maahad Integrasi Tahfiz Selangor

2) Kuala Langat (03-3182 2565)
Pusat pemindahan: Dewan Orang Ramai Kampung Kelanang dan Dewan Orang Ramai Sri Kundang

3) Klang (03-3371 6700)
Pusat pemindahan: Dewan Serbaguna Kampung Sungai Serdang, SRA Kampung Batu 4 Jalan Kapar, Dewan Kompleks Sukan Pandamaran dan Dewan Serbaguna MPK Pelabuhan Klang

4) Kuala Selangor (03-2289 7632 / 03-2289 6225 (APM)
Pusat pemindahan: Institut Pengurusan Peladang Tanjong Karang, Dewan SRJK(C) Pasir Penambang, SMK Seri Tanjong, SK Pasangan, SK Asam Jawa, Balai raya JKKK Kampung Pasir Tuntong, Dewan Orang Ramai Jeram, Balai JKKK Kampung Sugai Sembilang, Dewan Orang Ramai Sungai Buloh dan SK Tambak Jawa

5) Sabak Bernam (03-3224 7058 / 03-3224 1749 (APM)
Pusat pemindahan: Dewan Sri Sekinchan, Dewan Sri Bernam, Dewan Parit Baru dan Dewan Sri Nakhoda, Bagan Nakhoda Omar

6) Unit Pengurusan Bencana Negeri (03-5544 7324 / 03-5521 2440)


Pengarang :