Foto Facebook Air Selangor
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Air Selangor gerak 84 lori tangki ke premis kritikal

SHAH ALAM, 10 NOV: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menggerakkan 84 lori tangki air ke premis kritikal dan kawasan perumahan terjejas susulan gangguan bekalan air sejak 6 petang tadi.

Ketua komunikasi korporat berkata pihaknya juga menyediakan 17 Pusat Khidmat Setempat (PKS) bagi membolehkan pengguna mendapatkan bekalan air alternatif di kawasan masing-masing bermula 8 malam ini.

“Semua pengguna dinasihatkan mematuhi peraturan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika mengambil bekalan air daripada lori tangki dan pili awam yang disediakan,” kata Elina Baseri dalam kenyataan.

Beliau berkata sehingga jam 7 malam, tahap pencemaran bau di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang pada tahap empat TON (nombor bau nilai ambang).

Tambahnya, bacaan di muka sauk LRA Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa 3 pula pada tahap tiga TON dengan keempat-empat loji belum boleh beroperasi buat masa ini.

“Henti tugas ini menyebabkan Air Selangor tidak dapat menghasilkan air sebanyak 2,857 juta liter sehari dan menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual kepada pengguna di 1,279 kawasan,” katanya.

Air Selangor akan mengemas kini maklumat gangguan bekalan air tidak berjadual dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang di http://www.airselangor.com.


Pengarang :