Elina Baseri (baju putih) mengagihkan bekalan makanan kepada penduduk Flat Taman Gasing Indah Petaling Jaya pada 28 November 2020. Foto ihsan Air Selangor
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Air Selangor serah bekalan makanan, bantu 100 penduduk miskin

SHAH ALAM, 28 NOV: Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) hari ini mengagihkan bekalan makanan kepada 100 penduduk kurang berkemampuan di Flat Taman Gasing Indah, Petaling Jaya.

Ketua komunikasi korporatnya berkata inisiatif ‘Box of Hope’ bertujuan membantu komuniti berpendapatan rendah yang kekurangan makanan asas sususulan pandemik Covid-19.

Elina Baseri berkata usaha yang dilancarkan pada 30 Jun lalu mendapat sokongan Yayasan Food Bank Malaysia dan berjaya membantu seramai 253 keluarga miskin.

“Sumbangan barang makanan boleh dibuat di lima lokasi ‘Box of Hope’ Village Grocer di Tamarind Square Cyberjaya, MyTown Cheras, 1 Mont Kiara, I-City Mall Shah Alam dan Melawati Mall,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata Air Selangor turut melancarkan platform baharu sumbangan melalui CIMB Bank Berhad (80-0798511-8) dengan menyertakan nota catatan bantuan inisiatif ‘Box of Hope’.

Elina berkata sumbangan itu akan digunakan untuk membeli barangan makanan asas khusus kepada penduduk Program Perumahan Rakyat Termiskin dan kawasan luar bandar.

“Dengan pelancaran akaun bank ini, Air Selangor berharap lebih banyak individu dan organisasi yang akan bersama-sama menghulurkan bantuan dan sumbangan,” katanya lagi.

Untuk maklumat lanjut, layari laman sesawang Air Selangor di www.airselangor.com.


Pengarang :