EXCO Kerajaan Negeri Ir Izham Hashim bercakap ketika program bual bicara Pencemaran Air: Siapa Buat Onar? di Studio Media Selangor, Menara Bank Rakyat Shah Alam pada 23 November 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Alat analisis karbon organik diguna kesan punca cemar di sungai

SHAH ALAM, 24 NOV: Alat menganalisis karbon organik (TOC) akan digunakan sebagai kaedah mengesan punca pencemaran bau di sungai dengan lebih cepat, kata EXCO infrastruktur dan kemudahan awam.

Ir Izham Hashim berkata sehingga kini masih tiada alat pengesan khas selain hidung manusia untuk menjejak kejadian itu yang membawa kepada henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) di Selangor.

“Sebelum ini saya dengan kumpulan pakar berbincang mengapa kita tidak mengambil teknologi yang boleh kesan bau dan mengenal pasti punca pencemaran.

“Sebenarnya ada alat yang dipanggil TOC dan ia akan diperkenalkan dalam sistem pemantauan (untuk mengekang kejadian berkaitan),” katanya pada program bual bicara Pencemaran Air: Siapa Buat Onar? yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Media Selangor malam tadi.

Ir Izham menjelaskan TOC yang pertama kali digunakan itu akan ditempatkan di lokasi statik dan berhubung dengan pusat kawalan bagi memberi isyarat sekiranya ada sebarang perubahan organik dalam air.

“Biasanya bau dengan kandungan tercemar berasal daripada bahan organik, jadi kita kekang asalnya. Insya-Allah selepas ini kita dapat kesan punca yang boleh menyebabkan pencemaran bau dan air,” katanya.

Pada 10 November LRA Rantau Panjang, Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa 3 ditutup sekitar jam 6 petang susulan pencemaran bau seakan pelarut di Sungai Selangor.

Henti tugas memberi kesan gangguan air tidak berjadual kepada lebih 1.1 juta pemegang akaun di 1,279 kawasan sekitar Kuala Lumpur, Petaling, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Sehubungan itu Kerajaan Negeri mengarahkan 17 bengkel sekitar premis yang dipercayai menjadi punca pencemaran Sungai Selangor ditutup serta-merta bermula 11 November.


Pengarang :