Wan Hazmer Wan Abd Halim menunjukkan permainan video ‘No Straight Roads’ yang popular di Amerika Syarikat, yang boleh dimainkan melalui empat platform antaranya Playstation 4 dan Nintendo Switch
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Anak Melayu cipta ‘game’ popular di Amerika

FOTO FIKRI YUSOF

Mungkin orang Amerika Syarikat selepas ini biasa menyebut ‘Opocot’ dan ‘Adoi’, bahasa pasar dalam kalangan rakyat tempatan, susulan permainan video ‘No Straight Roads’ laris di negara itu.

Malah, ia antara 45 judul paling banyak diperkatakan di dunia pada tahun ini berdasarkan penilaian metacritic.com, portal yang menentukan kedudukan permainan video

Permainan yang direka Wan Hazmer Wan Abd Halim, 40, dan sepupunya, Daim Dziauddin, 40, memasukkan entri bahasa itu dalam babak tertentu.

Dilancarkan 25 Ogos lalu, ia juga menampilkan watak yang bertutur menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya dengan gerak-geri seakan-akan dikir barat dan wayang kulit.

Ini bukan pertama kali Wan Hazmer berbuat demikian. Melalui siri permainan ‘Final Fantasy 15’ – pernah mencatat jualan tertinggi di Amerika dan nombor satu di Jepun – elemen tempatan seperti roti canai, teh tarik dan sate ditonjolkan. Malah, beliau juga menjadikan bandar Taiping sebagai latar tempat.

Wan Hazmer Wan Abd Halim

Pada masa ini, industri permainan video menunjukkan peningkatan drastik, tidak seperti sektor lain yang merudum akibat wabak Covid-19 melanda dunia. Mengikut AFP pada 23 April, perbelanjaan orang ramai ke atas permainan elektronik seluruh dunia mencecah AS$10 juta (RM43.6 bilion) pada Mac.

Laporan AFP juga menunjukkan syarikat gergasi Nintendo menjual lima juta permainan video mesra keluarga iaitu ‘Animal Crossing: New Horizons’, menjadikan ia permainan digital paling tinggi dijual dalam tempoh sebulan.

Minat

Minat Wan Hazmer tertanam sejak kecil apabila bapanya menghadiahkannya konsol Atari, permainan video yang popular pertengahan 1980-an dan 1990-an.

Ketika belajar di Universiti Asia Pacific (APU) dalam jurusan pengkomputeran (programming), beliau mula memahami aspek reka cipta berpandu buku dan artikel dalam talian.

Beliau kemudian berhijrah ke Negara Matahari Terbit pada 2008 untuk mendalami pengetahuan mengenai permainan video. Namun, beliau terlebih dahulu menguasai bahasa Jepun. Justeru, Wan Hazmer mengambil masa 16 bulan untuk mempelajarinya di Sekolah Bahasa Jepun Yamano di Shibuya.

“Selepas fasih, saya buat 10 halaman kertas kerja permainan video dan menghantarkannya kepada beberapa syarikat termasuk ke Square Enix sebelum diterima bekerja,” katanya.

Berkhidmat tujuh tahun di sana, beliau mengetuai pasukan rekaan siri permainan Final Fantasy 15.

“Mencipta rekaan permainan video umpama arkitek, kita wujudkan keseronokan dalam permainan termasuk mencipta pengalaman permainan dengan merancang dan membuat susun atur bagi setiap peringkat dan juga kejadian tertentu,” katanya.

Kembali ke tanah air

Selepas lama mendiami Tokyo, Jepun, beliau pulang ke tanah air pada 2018 untuk menubuhkan syarikat sendiri dan membuat permainan video yang ada ciri-ciri Malaysia.

Pada Mei 2018, berbekalkan modal RM300,000 beliau menubuhkan Metronomik yang kini ada 20 kakitangan, semuanya terlibat dalam membangunkan ‘No Straight Roads’.

Wan Hazmer Wan Abd Halim berhijrah ke Jepun pada 2008 untuk mendalami pengetahuan mengenai permainan video

Wan Hazmer berharap permainan rekaannya bukan sahaja memberi keasyikan kepada pemainnya tetapi mendedahkan mereka kepada pengalaman sebagai orang Malaysia di samping mempamer budaya hidup tempatan kepada mereka.

Malah, salah satu watak jahat iaitu Eve menggunakan suara pelakon sitkom popular ‘Kopitiam’; Joanna Bessey dan turut menjalin kerjasama dengan pemuzik Az Samad, anak Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said.

Semua itu dilakukan Wan Hazmer apabila beliau mendapati kebanyakan permainan video Jepun menonjolkan latar tempat, budaya dan ciri-ciri negara tersebut.

No Straight Roads boleh dimainkan melalui empat platform iaitu Playstation 4, Xbox, Nintendo Switch dan komputer. Ia merupakan permainan bertema muzik dan dimainkan sebagai dua watak iaitu Mayday dan Zuke.

Misi mereka? Membebaskan Bandar Vinyl dari pemerintahan kuku besi puak genre electronic games music (EDM) yang mengharamkan muzik rock.

EDM merupakan genre muzik terkenal pada akhir 80-an dan masih dimainkan di kelab-kelab malam. EDM sebenarnya evolusi kepada muzik elektronik.

Beliau yang mendapat sokongan dari Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) berbangga mampu menghasilkan sesuatu yang ‘segar’ dalam bidang permainan video.


Pengarang :