Presiden Parti KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Anwar: Belanjawan tiada strategi lonjak ekonomi, atasi pengangguran

SHAH ALAM, 6 NOV: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Belanjawan 2021 tidak mengambarkan strategi untuk melonjakkan semula ekonomi negara.

Ketua pembangkang berkata ia juga tidak menyediakan penyelesaian terhadap masalah pengangguran mahupun membantu golongan yang terjejas akibat wabak Covid-19.

“Bagi saya kelemahan paling ketara adalah tiada satu lonjakan bagaimana untuk kita pulihkan ekonomi. Itu kelemahan besar bagi saya.

“Belanjawan ini tidak memberi gambaran bagaimana kita boleh merangsang dan memacu ekonomi supaya boleh hidup dan segar,” katanya dalam rakaman di Facebook petang ini.

Anwar turut membidas peruntukan besar untuk Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) yang menjangkau RM80 juta sedangkan peruntukan untuk orang kelainan upaya (OKU) dan golongan miskin “kecil”.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) juga berharap kemudahan pengeluaran bersasar Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) diperluas kepada pelbagai golongan.

“Dalam soal KWSP, walau ada tetapi dalam keadaan sesak masa sekarang, jumlah pinjaman perlu diperluas tidak hanya satu kategori,” katanya lagi.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz hari ini mengumumkan kemudahan pengeluaran RM500 sebulan dari Akaun 1 KWSP dalam tempoh 12 bulan bagi individu yang hilang pekerjaan.


Pengarang :