Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sidang Dewan Rakyat membahaskan Belanjawan 2021. Foto: Facebook Anwar Ibrahim
AGENDANASIONAL

Anwar dakwa belanjawan masih boleh ditolak peringkat jawatankuasa

SHAH ALAM, 29 NOV: Belanjawan 2021 masih boleh ditolak pada bacaan dan perbahasan di peringkat jawatankuasa jika tidak memenuhi aspirasi rakyat, dakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua pembangkang berkata ahli parlimen diingatkan jangan terlalu gembira kerana belanjawan tersebut kini baharu diluluskan pada peringkat dasar.

“Kami menolak secara lisan tetapi tidak meminta perpecahan untuk membolehkan perbahasan di peringkat jawatankuasa berlanjutan.

“Bagaimanapun, 15 Disember akan menjadi keputusan utama sama ada Belanjawan 2021 itu diterima atau tidak,” kata Pengerusi Pakatan Harapan (PAKATAN) menerusi wawancara dengan The Vibes semalam.

Khamis lalu, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2021 di peringkat dasar melalui undian suara selepas sebahagian besar ahli Parlimen termasuk pembangkang tidak menyokong cadangan undian secara belah bahagi.

PAKATAN menyatakan sokongan selepas Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan beberapa pindaan dan pemberian tambahan yang membantu rakyat seperti isu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan moratorium.

Perbahasan Belanjawan 2021 ini akan diteruskan ke peringkat jawatankuasa bermula esok dan pusingan undian seterusnya akan menyaksikan sama ada ia akan diluluskan dengan sebarang pindaan atau sebaliknya.

Anwar menegaskan semasa perbahasan di peringkat tersebut dan bacaan RUU perbekalan peringkat ketiga, PAKATAN akan menolak Belanjawan 2021 sekiranya tidak memenuhi keperluan rakyat.


Pengarang :