Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika sidang media khas berkenaan satu pengumuman penting selepas sesi mengadap DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Hotel Le Meridien Kuala Lumpur pada 13 Oktober 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Anwar: Enam syor PAKATAN tidak diangkat dalam Belanjawan 2021

SHAH ALAM, 9 NOV: Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Belanjawan 2021 yang dibentangkan menteri kewangan Jumaat lalu langsung tidak mengangkat enam syor Pakatan Harapan (PAKATAN).

Ketua pembangkang berkata tindakan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang tidak menyebut cadangan itu menimbulkan persoalan sama ada kerajaan serius menangani pandemik Covid-19.

“Meski saya puji kesungguhan kerajaan dalam membina muafakat yang ampuh bagi kita mendepani serangan dan dampak wabak Covid-19, menteri kewangan tidak langsung menyebut atau mengangkat enam syor dari PAKATAN semasa pembentangan Belanjawan 2021.

“Kejujuran dan niat kerajaan serta kementerian kini dipersoal apakah ia benar-benar serius mahu merangkul kekuatan untuk membendung wabak Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Anwar yang juga presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 di Dewan Rakyat.

Menurutnya, perbahasan dimulakan dalam konteks kebijaksanaan keputusan Raja-Raja Melayu untuk tidak membenarkan pengisytiharan darurat oleh kerajaan dan kabinet.

“Apa yang diputuskan oleh Raja-Raja Melayu ini penting kerana ia melindungi Perlembagaan dan demokrasi kita dari diinjak oleh beberapa watak yang tidak bertanggungjawab.

“Justeru keabsahan kerajaan ini akan terus dipersoal dan disanggah melalui Parlimen,” katanya lagi.

Berikut enam syor Belanjawan Perpaduan PAKATAN:

1. Meningkatkan sumber Kementerian Kesihatan untuk wabak Covid-19 dan Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) dengan peruntukan khas untuk menangani krisis pandemik di Sabah

2. Memperluas perlindungan sosial, jaring keselamatan dan pembayaran kebajikan bagi golongan berisiko dan menganggur dengan meningkatkan bantuan bulanan kebajikan kepada RM1,000 sehingga krisis Covid-19 berakhir seperti yang dijanjikan oleh perdana menteri di Sandakan pada 30 Ogos yang akan menelan belanja RM12 bilion

3. Pelanjutan moratorium pembayaran balik pinjaman bank sehingga 31 Mac 2021 yang akan menelan belanja RM6.4 bilion

4. Meneruskan subsidi upah sehingga 31 Mac 2021 dan mewujudkan 600,000 pekerjaan seperti dalam program MalaysiaKerja dengan menawarkan insentif selama dua tahun untuk majikan dan pekerja yang akan menelan belanja RM13 bilion

5. Peningkatan perbelanjaan pendidikan untuk memastikan kesinambungan pendidikan

6. Perbelanjaan pembangunan untuk dua projek utama iaitu Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) dan menaik taraf infrastruktur air untuk Selangor, Kelantan dan Pahang.


Pengarang :