AGENDANASIONAL

Anwar: Kaji semula pengeluaran Akaun 1 KWSP, bantu rakyat terkesan

SHAH ALAM, 9 NOV: Kerajaan digesa mengkaji semula pengeluaran Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam jumlah yang munasabah.

Ketua pembangkang berkata jumlah RM500 sebulan tidak mencukupi untuk menampung kehidupan individu yang kehilangan kerja susulan penularan Covid-19.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata meskipun langkah itu akan menjejaskan simpanan, namun ia terpaksa dilakukan bagi meringankan beban golongan terjejas.

“Perdana menteri sebut (pengeluaran KWSP) dibuat kerana ikut desakan rakyat tetapi beliau tidak faham rakyat pilih itu kerana terpaksa.

Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sidang media khas selepas mengadap DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Hotel Le Meridien Kuala Lumpur pada 13 Oktober 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Meskipun saya kurang setuju kerana itu simpanan masa depan tetapi sebab terdesak, saya cadangkan jumlahnya ditambah dan diberi kelonggaran atas kegagalan kerajaan membantu rakyat,” katanya ketika berbahas di Dewan Rakyat hari ini.

Jumaat lalu, kerajaan mengumumkan kemudahan pengeluaran KWSP daripada Akaun 1 secara bersasar sebanyak RM500 sebulan dalam tempoh 12 bulan.

Sementara itu, Anwar mencadangkan bank mengurangkan kadar faedah pinjaman bagi meringankan beban golongan berpendapatan rendah (B40) dan menengah (M40).

Ahli parlimen Port Dickson berkata langkah itu jika dilaksana tidak merugikan kerana agensi berkenaan masih boleh mengaut keuntungan tahunan RM28 bilion.

“Kerajaan harus beri pertimbangan supaya moratorium diperluaskan dan beri sedikit tekanan kepada bank untuk potong faedah pinjaman bagi mengurangkan beban peminjam.

“Bank cuma menanggung sedikit kos dan kurangkan keuntungan. Sama-samalah kita susah dalam hal ini,” katanya lagi.


Pengarang :