Ir Izham Hashim (dua, dari kanan) dan Hee Loy Sian (kanan) melawat pameran Pengurusan Air Selangor pada taklimat perancangan penyelesaian masalah bekalan air Sungai Selangor dan Sungai Semenyih akibat pencemaran di Bilik Gerakan Pejabat Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 26 November 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Baik pulih bekalan air tidak sama seperti elektrik, ambil masa

SHAH ALAM, 26 NOV: Kerja membaikpulih bekalan air terjejas tidak boleh disamakan seperti menyambung semula gangguan bekalan elektrik, kata EXCO infrastruktur dan kemudahan awam.

Menurutnya, proses penyambungan semula bekalan air ada kalanya memakan masa agak lama serta bergantung kepada lokasi pengguna serta tekanan bekalan air di sesebuah kawasan.

“Selepas pencemaran berjaya ditangani, bagi proses pertama, air akan disalurkan semula ke kolam imbangan dan ia memakan masa 12 jam. Setelah itu bekalan akan ke kolam utama, seterusnya ke kolam perkhidmatan dan barulah boleh diagihkan kepada pengguna.

“Kemudian agihan bekalan itu pula bergantung kepada kawasan pengguna sama ada jauh atau dekat serta faktor tekanan bekalan air. Sebab itu ada kalanya ia makan masa selama empat hari baru pengguna dapat bekalan air semula.

“Untuk baik pulih bekalan air tidak ada jalan pintas untuk membaikinya,” kata Ir Izham Hashim ketika Sesi Taklimat Perancangan Penyelesaian Masalah Bekalan Air di Bangunan Annex Dewan Undangan Negeri.

Hadir sama EXCO Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Hee Loy Sian dan Pemangku Pengarah (Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Lembangan Sungai dan Pantai) Lembaga Urus Air Selangor, Haslina Amer.

Mengulas lanjut, Izham berkata beliau mengakui ramai salah faham apabila beranggapan bekalan air boleh diambil dari empangan sekiranya bekalan terjejas.

“Ramai salah faham, mereka persoal kenapa tak ambil air dari empangan kerana air dari sana bersih. Tapi sebenarnya bekalan air diambil dari sungai dan tidak semestinya empangan,” katanya.

 


Pengarang :