PPS Dewan Serbaguna Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) Desa Coalfields dibuka bagi menempatkan penduduk terjejas banjir pada 18 November 2020. Foto Facebook Kelab Info Malaysia
AGENDANASIONAL

Banjir: Empat pusat pemindahan dibuka di Kuala Selangor, Sepang

SHAH ALAM, 21 NOV: Empat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan 137 mangsa banjir sekitar Sepang dan Kuala Selangor, kata Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPNB).

Pegawai Operasi, Muhammad Izzat Haziq Mohd Nazir berkata PPS Dewan Majlis Daerah Kuala Selangor, Desa Coalfield yang dibuka sejak Rabu menempatkan 25 mangsa dari 10 keluarga selepas kediaman mereka dinaiki air separas 0.3 meter.

“UPNB terpaksa membuka PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Mahang dan SK Ijok di Kuala Selangor mulai kelmarin dan semalam selepas 61 rumah dinaiki air. Ia membabitkan 95 mangsa.

“Semalam satu PPS di Sepang di Sekolah Rendah Agama Labu Lanjut turut dibuka. Mangsa seramai 17 orang dari tiga keluarga ditempatkan di situ,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Muhammad Izzat berkata unit itu akan terus memantau serta mengambil tindakan jangka pendek dan panjang bagi mengatasi masalah banjir.

“Antara langkah akan diambil adalah melakukan kerja pembersihan parit, mengkaji semula sistem saliran, pemasangan pam bergerak, pembinaan rumah pam dan meninggikan ban sedia ada,” katanya.


Pengarang :