Sekumpulan remaja meredah jalan yang dinaiki air ekoran banjir kilat yang melanda selepas hujan lebat ketika tinjauan di Kampung Parit Mahang Jeram Kuala Selangor pada 21 November 2020. Foto BERNAMA
AGENSISELANGOR

Banjir Kuala Selangor, 10 mangsa dipindah di PPS

SHAH ALAM, 26 NOV: Seramai 10 mangsa daripada dua keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) banjir di daerah Kuala Selangor sehingga jam 7.30 malam tadi.

Pegawai Daerah Kuala Selangor Mohd Faizal Abdul Raji berkata PPS yang dibuka adalah di Sekolah Kebangsaan Dato’ Maharajalela.

“Daripada jumlah itu seramai tiga wanita dewasa, tiga kanak-kanak lelaki, dua lelaki dewasa dan dua bayi lelaki,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, banjir kilat itu berlaku kira-kira jam 4.30 petang semalam di Kampung Bukit Hijau, Kuala Selangor.

“Mangsa bencana ini diberikan sumbangan daripada tabung bencana daerah termasuk bantuan daripada ahli dewan negeri dan pertubuhan bukan kerajaan.

“Pihak kami sentiasa memantau keadaan banjir dan bersiap siaga membantu mereka yang terjejas untuk dipindahkan ke PPS,” katanya.


Pengarang :