Pasukan Angkatan Pertahanan Awam (APM) membantu memindahkan mangsa ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Sungai Serai, Hulu Langat pada 4 November 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Banjir: Lima pusat pemindahan dibuka di Selangor

SHAH ALAM, 5 NOV: Seramai 362 mangsa banjir daripada 87 keluarga di Sepang dan Hulu Langat, Selangor ditempatkan di lima Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka lewat petang dan malam semalam.

Pegawai Operasi Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) Selangor Muhammad Izzat Haziq Mohd Nazir berkata pembukaan PPS berkenaan berikutan hujan lebat berterusan selama beberapa jam di kedua-dua daerah itu menyebabkan paras air Sungai Langat dan Sungai Semenyih meningkat hingga melimpah ke kawasan berpenduduk.

Beliau berkata dua PPS dibuka di Hulu Langat iaitu Kompleks Penghulu Baru 10 Cheras dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Serai manakala tiga lagi di Sepang iaitu Sekolah Rendah Agama (SRA) Dengkil, Dewan Orang Ramai Taman Gemilang dan Dewan Orang Ramai Pekan Dengkil.

“Seramai 161 mangsa daripada 36 keluarga ditempatkan di PPS SK Sungai Serai manakala 55 mangsa daripada 15 keluarga dipindahkan ke Kompleks Penghulu Baru 10 Cheras.

“SRA Dengkil pula menempatkan 24 mangsa daripada enam keluarga, Dewan Orang Ramai Taman Gemilang 55 mangsa daripada 14 keluarga dan 67 lagi mangsa daripada 16 keluarga dipindahkan ke Dewan Orang Ramai Pekan Dengkil,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Muhammad Izzat Haziq berkata UPBN Selangor akan membuka lebih banyak PPS sekiranya jumlah mangsa makin bertambah bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikuatkuasakan ketika ini.

– BERNAMA


Pengarang :