Selangorkini
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Bank Negara kekalkan OPR 1.75 peratus, ekonomi global pulih

KUALA LUMPUR, 3 NOV: Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) membuat keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75 peratus berikutan ekonomi global terus pulih, didorong oleh pemulihan dalam aktiviti perkilangan dan eksport.

Dalam kenyataan hari ini, bank pusat berkata keputusan OPR itu turut dilaksanakan selepas penunjuk terkini di Malaysia yang menunjukkan kegiatan ekonomi meningkat dengan ketara pada suku ketiga.

“Pengenalan langkah-langkah bersasar untuk membendung Covid-19 di beberapa negeri boleh menjejaskan momentum pemulihan pada suku keempat.

“Bagaimanapun, pertumbuhan bagi 2020 dijangka berada dalam julat unjuran sebelum ini,” katanya.

Bagi 2021, BNM berkata kegiatan ekonomi diunjurkan semakin bertambah baik, didorong oleh permintaan global yang semakin pulih, perbelanjaan sektor swasta dan awam yang kembali pulih dalam keadaan sokongan yang berterusan daripada langkah-langkah dasar dan pengeluaran yang lebih tinggi daripada fasiliti sedia ada dan baharu.

Namun, kadar pemulihan ini dijangka tidak sekata merentas sektor, dengan kegiatan ekonomi dalam beberapa industri terus berada di bawah paras sebelum pandemik, dan peningkatan yang lebih perlahan dalam pasaran pekerja.

“Risiko pertumbuhan yang rendah masih wujud, berpunca terutamanya daripada ketidakpastian yang berterusan berhubung pandemik pada peringkat global dan dalam negeri,” katanya.

Mengenai purata inflasi keseluruhan, bank pusat berkata, sejajar dengan penilaian sebelum ini, purata inflasi keseluruhan dijangka negatif pada 2020 memandangkan harga minyak dunia yang jauh lebih rendah.

“Bagi 2021, purata inflasi keseluruhan diunjurkan lebih tinggi.

“Bagaimanapun, prospek akan terus dipengaruhi dengan ketara oleh harga minyak dan komoditi dunia,” katanya.

Inflasi asas dijangka kekal rendah pada 2021 dalam keadaan lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi, tambahnya.

Di peringkat luaran, BNM berkata, berdasarkan penunjuk terkini, kegiatan ekonomi meningkat dalam kebanyakan ekonomi maju dan serantau dengan momentum pemulihan yang lebih ketara di China.

Bagaimanapun, katanya penularan semula kes Covid-19 baru-baru ini menyebabkan beberapa ekonomi utama melaksanakan semula langkah pembendungan meskipun pada amnya lebih longgar berbanding langkah-langkah yang dilaksanakan sebelum ini.

“Hal ini menggambarkan bahawa pemulihan ekonomi global akan kekal tidak sekata dalam tempoh terdekat,” katanya.

Menurut BNM, keadaan kewangan telah bertambah baik walaupun aktiviti penghindaran risiko kekal ketara.

“Prospek keseluruhan terus bergantung pada risiko pertumbuhan ekonomi menjadi lebih rendah, terutamanya disebabkan oleh risiko penularan semula jangkitan Covid-19 yang boleh menyebabkan keadaan perniagaan, pekerjaan dan pendapatan menjadi lebih lemah,” tambahnya.

Secara keseluruhan, MPC menyifatkan pendirian dasar monetari adalah wajar dan akomodatif.

“Pengurangan OPR sebanyak 125 mata asas secara kumulatif pada tahun ini akan terus merangsang ekonomi,”katanya.

BNM berkata MPC akan terus menilai keadaan yang sentiasa berubah-ubah dan kesannya terhadap prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri secara keseluruhan dan bank pusat akan terus komited untuk menggunakan alat-alat dasarnya yang bersesuaian bagi mewujudkan keadaan yang menyokong pemulihan ekonomi yang berterusan.

Sementara itu, bank pusat berkata mesyuarat ini juga meluluskan jadual mesyuarat MPC untuk 2021.

“Selaras dengan Akta Bank Negara Malaysia 2009, mesyuarat MPC akan diadakan sebanyak enam kali setahun.

“Mesyuarat akan diadakan selama dua hari dan Pernyataan Dasar Monetari diumumkan pada 3 petang pada hari kedua mesyuarat MPC,” katanya.

-BERNAMA

 


Pengarang :