AGENSISELANGOR

Bantuan yuran ringankan beban pelajar baharu masuk Unisel

SHAH ALAM, 13 NOV: Universiti Selangor (Unisel) mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri di atas pengumuman program Bantuan Yuran Asas Universiti (Bayu) dengan peruntukan RM4 juta menerusi Belanjawan Selangor 2021.

Pengarah komunikasi korporat, Hasril Abu Hassan berkata program berkenaan dapat meringankan beban kewangan pelajar yang ingin mendaftar di Unisel.

“Menerusi bantuan ini setiap pelajar daripada kategori B40 yang berdaftar dengan Unisel akan terima suntikan hampir RM600 untuk pengajian tahun depan bagi tujuan pembiayaan yuran asas,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, sempena sambutan 20 Tahun Unisel pihak universiti turut menawarkan program asas secara percuma sepanjang tahun depan.

Empat program pengajian Asas tersebut ialah Asas Sains, Asas Teknologi Maklumat, Asas Tesl dan Asas Pengurusan serta pengajian trek huffaz kepada pelajar yang pernah mengikuti aliran tahfiz dan agama.

“Pelajar yang berminat untuk menjadi sebahagian warga Unisel, kemasukan November 2020 masih dibuka,” katanya.

Maklumat lanjut, hubungi talian 03-5522 3400 atau WhatsApp ke 018-571 4084 / 018-571 4087 atau layari laman sesawang di www.unisel.edu.my.


Pengarang :