Sekinchan menawarkan pelbagai produk pelancongan menarik seperti makanan laut, pemandangan sawah padi dan produk industri kecil dan sederhana. Foto SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Baucar pelancongan RM200 galak orang ramai teroka Selangor

SHAH ALAM, 20 NOV: Kerajaan Selangor bakal menyediakan 10,000 subsidi baucar pelancongan bernilai RM2 juta kepada orang ramai bagi mengalakkan mereka berkunjung ke negeri ini.

EXCO pelancongan berkata inisiatif bernilai RM200 setiap satu yang akan dilancarkan pertengahan bulan depan boleh didapati melalui platform e-dompet Touch n Go dan Lazada.

Hee Loy Sian menjelaskan baucar tersebut boleh ditebus untuk kegunaaan hotel, inap desa berlesen serta taman tema di seluruh negeri.

“Inisiatif ini antara langkah menggalakkan rakyat Malaysia melancong ke Selangor sekali gus merancakkan semula sektor pelancongan yang terjejas akibat Covid-19.

“Kerajaan Negeri dengan kerjasama Tourism Selangor mengambil segala langkah untuk menarik kehadiran pelancong domestik dan perkara terpenting adalah membantu penggiat sektor ini,” katanya.

Hee Loy Sian berkata pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Insentif Khas Pakej Pemulihan Ekonomi Impak Covid-19 di Bilik Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor semalam.

Beliau berkata Tourism Selangor turut mempergiatkan promosi pelancongan `Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu’ menjelang 2021.

“Pemulihan sektor ini memfokuskan usaha menarik pengunjung domestik menerusi pelancongan eko, agro, sukan, perubatan, pelancongan dan industri,” katanya.

Pada 13 Julai, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan subsidi baucar pelancongan bernilai RM2 juta yang boleh ditebus di hotel, taman tema dan inap desa berlesen.


Pengarang :