EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian meninjau kawasan sekitar loji kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) di Taman Velox, Rawang, lokasi disyaki berlaku pencemaran bau Sungai Selangor pada 10 November 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Bekalan air dijangka pulih berperingkat mulai pagi esok

RAWANG, 10 NOV: Pengguna di tujuh wilayah terjejas dijangka menerima bekalan air secara berperingkat mulai pagi esok, kata EXCO alam sekitar.

Hee Loy Sian berkata bekalan hanya akan mula disalurkan sekiranya pembersihan sisa buangan dapat diselesaikan malam ini.

“Kita jangka kalau pulih malam ini, Loji Rawatan Air (LRA) masih tidak boleh proses bekalan air walaupun kadar bacaan TON (nombor bau nilai ambang) mencapai sifar kerana kita mempunyai piawaian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Bagaimanapun kita akan cuba proses air dengan segera dan bermula esok pagi, rumah berdekatan akan dapat air tetapi mengambil masa 10 jam untuk sampai ke destinasi pertama kalau isu ini selesai malam ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau loji rawatan kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) Taman Velox hari ini.

Terdahulu, LRA Rantau Panjang, Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa 3 ditutup jam 6 petang ini susulan pencemaran bau seakan pelarut di Sungai Selangor.

Henti tugas memberi kesan gangguan air tidak berjadual kepada lebih 1.1 juta pemegang akaun di 1,279 kawasan sekitar Kuala Lumpur, Petaling, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.


Pengarang :