Pengerusi Pakatan Harapan (PAKATAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media pada 23 September 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Belanjawan 2021: PAKATAN teliti peruntukan untuk Jasa, KKM

SHAH ALAM, 29 NOV: Pakatan Harapan (PAKATAN) akan meneliti peruntukan RM85.5 juta dalam Belanjawan 2021 bagi mewujudkan semula Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa).

Ketua pembangkang berkata dana yang besar itu lebih sesuai dibelanjakan untuk kebajikan rakyat dan diberi kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menangani virus Covid-19.

“RM85.5 juta yang tidak diketahui untuk Jasa dan keperluan dana besar untuk KKM antara isu akan diteliti PAKATAN di peringkat jawatankuasa,” kata Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi wawancara dengan The Vibes semalam.

Beliau memaklumkan pihaknya tidak akan memberi laluan mudah pada peringkat tersebut yang dimulakan esok berbanding Khamis lalu selepas Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan beberapa pemberian tambahan hingga diluluskan pada peringkat dasar.

Menerusi pembentangan Belanjawan 2021, PAKATAN membidas peruntukan besar untuk Jasa yang menjangkau lebih RM80 juta.

Sebelum ini, Jasa dibubarkan pada Mei 2018 oleh kerajaan PAKATAN selepas menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).


Pengarang :