Petugas Selcare Dr Noradhiah Tumirin melakukan saringan Covid-19 percuma anjuran Kerajaan Selangor kepada orang ramai di Klinik Selcare Puchong ketika tinjauan pada 6 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Belanjawan 2021 tidak tumpu usaha menyeluruh tangani Covid-19

SHAH ALAM, 9 NOV: Belanjawan 2021 yang dibentangkan Jumaat lalu tidak menumpukan usaha menangani penularan Covid-19 secara menyeluruh, kata ketua pembangkang.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata hanya 5.3 peratus daripada RM322.5 bilion peruntukan diagihkan kepada Kumpulan Wang Covid-19 bagi mengatasi isu tersebut.

Beliau menegaskan kerajaan boleh mengemukakan perbelanjaan defisit susulan situasi pandemik yang semakin membimbangkan di seluruh negara.

“Belanjawan ini tiada yang luar biasa meskipun banyak kali ditekankan untuk membendung Covid-19. Peruntukan bagi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga disorok bawah peruntukan pembangunan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sidang media khas selepas mengadap DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Hotel Le Meridien Kuala Lumpur pada 13 Oktober 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Perkara ini harus diberi penjelasan, mana boleh peruntukan KKM dibuat begitu. Sebab utama (belanjawan) untuk tunjuk tiada defisit bertambah tetapi angkanya mengelirukan,” katanya dalam perbahasan di Dewan Rakyat.

Anwar yang juga ahli parlimen Port Dickson turut mempertikai dana pembelian vaksin Covid-19 berjumlah RM3 bilion yang tidak dimasukkan dalam belanjawan.

“Saya usulkan menteri kewangan teliti dan dengar hujah ini supaya hal Covid-19 diberi keutamaan. Kita (Pakatan Harapan) hanya akan sokong jika ia belanjawan untuk Covid-19,” kata beliau lagi.

Belanjawan 2021 memperuntuk RM1 bilion untuk membendung gelombang ketiga Covid-19 melibatkan pembelian kit saringan, sut perlindungan diri dan perolehan peralatan.


Pengarang :