AGENDANASIONAL

Beri geran bantuan, lanjut kontrak pengusaha kantin sekolah – Anwar

SHAH ALAM, 11 NOV: Kerajaan digesa mempertimbangkan pemberian geran bantuan kepada pengusaha kantin susulan penutupan sekolah hingga 17 Disember depan, kata Presiden KEADILAN.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kontrak perkhidmatan golongan itu juga seharusnya dilanjutkan sebagai langkah membantu.

“Kerajaan perlu meneliti setiap aspek sebelum membuat keputusan yang memberi kesan kepada rakyat terutama ketika zaman getir seperti ini.

“Keputusan tergesa-gesa tanpa mengambil kira nasib pengusaha kantin adalah mengecewakan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.

Sehubungan itu Ahli Parlimen Port Dickson berkenaan akan menuntut penjelasan lanjut serta tindakan segera kerajaan mengatasi masalah itu dari Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin.

“Ini dikhuatiri (penutupan sekolah) akan memaksa mereka gulung tikar akibat ketidakmampuan menanggung bebanan kos operasi harian,” katanya.

Semalam, Presiden Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia, Hamzah Omar berkata, lebih 10,000 pengusaha kantin tanggung kerugian ekoran keputusan penutupan sekolah bermula Isnin lalu sehingga 17 Disember ini.


Pengarang :