Selangorkini
Pekerja Indah Water Konsortium (IWK) melihat lokasi disyaki berlaku pencemaran bau Sungai Selangor di loji kumbahan IWK Taman Velox, Rawang pada 10 November 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Buangan cemar air dikesan, MB syak unsur sabotaj

SHAH ALAM, 10 NOV: Pencemaran di Sungai Selangor yang mengakibatkan Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang, Sungai Selangor Fasa 1,2 dan 3 dihenti tugas disyaki ada unsur sabotaj.

Dato’ Menteri Besar berkata siasatan awal mendapati terdapat bahan buangan yang mencemar Sungai Selangor dikesan di loji rawatan kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) dan kawasan industri Taman Velox Rawang.

“Disyaki terdapat unsur pencerobohan dan sabotaj. Laporan polis sedang dibuat. Kejadian ini berlaku sehari selepas pindaan enakmen LUAS (Lembaga Urus Air Selangor) diluluskan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari melalui Twitter malam ini.

Sebelum ini, IWK ada dikaitkan sebagai punca pencemaran sumber air tetapi mereka berulang kali menafikan dakwaan tersebut.

Pencemaran bau menyebabkan gangguan air tidak berjadual kepada lebih 1.1 juta pemegang akaun membabitkan 1,279 kawasan sekitar Kuala Lumpur, Petaling, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Petang tadi, EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) mengesyaki wujud unsur sabotaj dan bercadang membuat aduan polis.

Semalam, sidang DNS meluluskan pindaan yang dibentang Amirudin pada Jumaat lalu selepas mendapat sokongan wakil rakyat.

Pindaan itu antara lain menaikkan jumlah denda minimum daripada RM100,000 kepada RM200,000 dan maksimum RM1 juta selain penjara mandotari.


Pengarang :