AGENDAEKONOMINASIONAL

Bursa Malaysia dibuka rendah, jejaki prestasi pasaran Asia

KUALA LUMPUR, 19 NOV: Bursa Malaysia meneruskan penyusutan semalam apabila dibuka rendah hari ini, seiring dengan prestasi sebahagian besar pasaran Asia susulan aktiviti pengambilan untung membabitkan saham-saham wajaran tinggi, kata peniaga.

Pada 9.15 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 13.09 mata kepada 1,591.66 selepas dibuka turun 8.96 mata kepada 1,595.79.

Kaunter rugi mengatasi untung iaitu 427 berbanding 182 manakala 337 kaunter tidak berubah, 1,224 tidak diniagakan dan 28 yang lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 1.28 bilion bernilai RM427.37 juta.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd berkata tanda-tanda berlakunya aktiviti pengambilan untung kini kian ketara di FBM KLCI selepas indeks penanda aras tersebut mencatat angka melebihi paras psikologi 1,600, baru-baru ini.

“Kami kini menjangkakan berlakunya proses konsolidasi pasaran ketika para pelabur menikmati keuntungan mereka baru-baru ini. Aliran dagangan yang mendatar juga dijangkakan bagi membolehkan kemungkinan peningkatannya dalam masa terdekat ini.

“Dalam pada itu, saham-saham berharga rendah juga dijangka kukuh apabila pelabur menumpukan keputusan pelaporan kewangan korporat yang telah diumumkan,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Firma pembrokeran itu turut menjangkakan saham-saham berkaitan vaksin terus mendapat perhatian ketika pasaran menjangkakan vaksin Covid-19 itu dapat ditawarkan pada 2021.

“Bagi kami, tumpuan juga perlu dialihkan kepada sektor perladangan memandangkan keputusan pendapatan korporat yang kukuh akibat aliran peningkatan ketara harga minyak sawit mentah (MSM) manakala sektor tenaga akan dipengaruhi oleh harga minyak mentah yang semakin stabil,” katanya.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank dan TNB masing-masing susut 8.0 sen kepada RM8.15 dan RM11.18, Public Bank rugi 32 sen kepada RM18.74, Top GLove turun 15 sen kepada RM6.86 dan Petronas Chemicals merosot 1.0 sen kepada RM6.74.

Bagi saham aktif, Kanger naik 1.0 sen kepada 20.5 sen, Solution Group meraih 2.5 sen kepada 98 sen manakala AT Systematization dan Metronic Global masing-masing susut 1.0 sen kepada 18 sen dan 10.5 sen.

Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas turun 88.96 mata kepada 11,425.53, Indeks Syariah FBM Emas susut 86.40 mata kepada 13,081.94, Indeks FBMT 100 merosot 88.61 mata kepada 11,214.63, FBM 70 kehilangan 101.23 mata kepada 14,624.03 manakala FBM ACE turun 84.30 mata kepada 11,003.80.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri susut 0.55 mata kepada 158.44, Indeks Perladangan jatuh 4.02 mata kepada 7,351.13 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 139.55 mata kepada 14,225.06.

-BERNAMA


Pengarang :