AGENDANASIONAL

Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini

KUALA LUMPUR, 25 NOV: Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini, sejajar dengan perkembangan saham global yang positif berikutan unjuran ekonomi yang lebih baik.

Sehingga 9.17 pagi, indeks petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 6.75 mata kepada 1,585.14 daripada 1,578.39 semasa ditutup semalam.

Pasaran dibuka tinggi 3.92 mata kepada 1,582.31.

Kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 426 berbanding 210, manakala 1,049 kaunter tidak berubah, 491 tidak diniagakan dan 24 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.45 bilion bernilai RM452.15 juta.

Seorang penganalisis berkata kenaikan semalaman dalam saham Amerika Syarikat (AS) menyebabkan saham Asia lain turut meningkat.

“Tempoh yang baik untuk ekuiti telah kembali berikutan peralihan politik di AS telah berkurangan susulan pemenang pilihan raya Presiden Joe Biden menamakan Janet Yellen (ahli ekonomi) bagi jawatan (setiausaha perbendaharaan) untuk Jabatan Perbendaharaannya yang menunjukkan keutamaan dasarnya,” katanya.

Bloomberg melaporkan aliran meningkat ekuiti global diteruskan pada Rabu selepas saham AS naik kepada paras baharu, dengan tunai terus dicatatkan dalam sektor kitaran.

“Saham Asia dibuka tinggi dan niaga hadapan dalam Indeks S&P 500 meningkat selepas indeks ditutup pada paras tertinggi sepanjang masa dan Dow Jones Industrial Average melepasi 30,000 untuk kali pertama,” katanya.

Di kaunter Malaysia, saham kitaran, yang berkaitan pengguna, kewangan dan hartanah, telah menunjukkan momentum meningkat.

Di Bursa Malaysia, saham wajaran tinggi Public Bank menambah 30 sen kepada RM18.68, Telekom Malaysia meningkat 18 sen kepada RM4.78, Maybank naik lima sen kepada RM8.18 dan Press Metal menokok 10 sen kepada RM6.20.

Dalam kalangan saham cergas, Sapura Energy menambah satu sen kepada 12.5 sen, AT Systematization dan Mtouche, masing-masing naik 1.5 sen kepada 17 sen dan 8.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 58.41 mata kepada 11,383.86, Indeks FBMT 100 naik 53.93 mata kepada 11,169.62, Indeks FBM Emas Shariah melonjak 38.59 mata kepada 13,051.85 dan FBM 70 menambah 95.18 mata kepada 14,596.01.

FBM ACE naik 54.89 mata kepada 10,535.02, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 0.31 mata kepada 157.99, Indeks Perladangan meningkat 8.0 mata kepada 7,276.33 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 127.43 mata kepada 14,097.84.


Pengarang :