AGENDAEKONOMINASIONAL

Bursa Malaysia diramal niaga tinggi, pelabur kembali beli saham

KUALA LUMPUR, 14 NOV: Bursa Malaysia dijangka diniagakan tinggi minggu depan dengan pelabur dijangka membeli saham pada harga rendah berikutan penurunan pada minggu lepas tetapi kemajuan dalam pembangunan vaksin Covid-19 akan mengurangkan minat untuk mengambil risiko.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim berkata bursa tempatan boleh menjangka untuk menyaksikan peningkatan dalam kaunter sarung tangan berikutan berita mengenai vaksin Covid-19.

Beliau turut menjangka saham permodalan kecil akan mula membuat kemunculan semula.

“Kami menjangka untuk menyaksikan FBM KLCI berada antara paras sokongan pada 1,580 dan paras halangan pada 1,595 minggu depan,” katanya kepada Bernama.

Pada minggu baru berakhir, sentimen pasaran dipengaruhi oleh Belanjawan 2021 dan kejayaan ujian fasa ketiga vaksin Covid-19 oleh Pfizer.

Kaunter perbankan melonjak pada pertengahan minggu berikutan moratorium menyeluruh tidak dilanjutkan di bawah Belanjawan 2021, yang memberi prospek baik kepada pendapatan bank.

Pada Jumaat, Bank Negara Malaysia mengumumkan ekonomi Malaysia pulih dengan mencatatkan penguncupan yang lebih kecil sebanyak 2.7 peratus pada suku ketiga 2020 daripada -17.1 peratus pada suku tahun sebelumnya.

Prestasi ini, bagaimanapun, tidak cukup kuat untuk meningkatkan lagi minat untuk mengambil risiko dalam pasaran.

FBM KLCI ditutup tinggi 70.05 mata untuk mengakhiri minggu ini kepada 1,589.69 daripada 1,519.64 semasa dicatatkan pada Jumaat lepas.

Di papan skor, Indeks FBM Emas melonjak 391.02 mata kepada 11,409.99, Indeks FBMT 100 menambah 390.76 mata kepada 11,204.04 dan Indeks FBM Emas Shariah naik 51.63 mata kepada 13,327.03.

FBM 70 meningkat 106.18 mata kepada 14,622.98 dan Indeks FBM ACE menokok 250.84 mata kepada 11,224.75.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 1,273.55 mata kepada 13,568.01, Indeks Perladangan menambah 180.82 mata kepada 7,304.2 manakala Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 6.41 mata kepada 156.2.

Indeks Teknologi susut 0.09 mata kepada 64.62 manakala Indeks Penjagaan Kesihatan merosot 139.18 mata kepada 3,991.15.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 67.71 bilion unit bernilai RM29.51 bilion daripada 34.28 bilion unit bernilai RM18.51 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran Utama melonjak kepada 31.07 bilion saham bernilai RM21.53 bilion daripada 16.30 bilion saham bernilai RM13.88 bilion.

Jumlah dagangan waran naik kepada 4.46 bilion unit bernilai RM807.03 juta daripada 4.08 bilion unit bernilai RM842.51 juta pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 32.17 bilion saham bernilai RM7.17 bilion daripada 10.68 bilion saham bernilai RM3.75 bilion sebelum ini.

-BERNAMA


Pengarang :