Gambar hiasan perbicaraan di mahkamah. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Cemar Sungai Selangor: Pengarah syarikat direman sehari lagi

KUALA LUMPUR, 19 NOV: Tempoh tahanan reman terhadap seorang pengarah syarikat pembekalan bahan kimia berhubung kejadian pencemaran bau air mentah di Sungai Selangor, dilanjut sehari lagi oleh Mahkamah Majistret Selayang di sini, hari ini.

Majistret Nur Hafizah Rajuni mengeluarkan perintah itu ke atas suspek lelaki berumur 58 tahun, selepas membenarkan permohonan polis untuk melanjutkan tempoh tahanan reman sehingga esok (20 November).

Suspek sebelum ini ditahan reman selama tujuh hari mulai 13 November lepas di mahkamah sama bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan, iaitu bagi kesalahan melakukan khianat dengan mendatangkan bencana terhadap perjalanan tali air, sehingga menyebabkan susut bekalan air kepada manusia dan haiwan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 30 tahun dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Prosiding reman terhadap suspek yang memakai baju lokap polis berwarna oren bermula pada 9.30 pagi dan selesai 10 pagi. Sebelum ini, empat individu termasuk dua pengarah syarikat pembinaan jalan raya ditahan reman berhubung kes sama.

Media sebelum ini melaporkan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang dan Sungai Selangor Fasa (SSP) 1, 2 dan 3 telah dihenti tugas menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual, melibatkan 1,139,008 akaun pengguna di Lembah Klang, berikutan pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor.

Gangguan bekalan itu merangkumi 1,279 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat mulai 6 petang pada 10 November lepas.

-BERNAMA

 


Pengarang :