Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menyampaikan statistik jangkitan pada sidang media perkembangan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia Putrajaya pada 20 November 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Covid-19: 238 kes, kluster baharu dicatat di Selangor

SHAH ALAM, 29 NOV: Sebanyak 238 kes baharu Covid-19 dilaporkan di Selangor hari ini dan melibatkan satu lagi kluster baharu, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kluster tersebut, Kluster Yayasan dikesan di daerah Klang iaitu kes indeks ke-52,340 yang positif semalam hasil saringan individu bergejala.

“Setakat jam 12 tengah hari tadi, seramai 190 individu disaring melibatkan kluster sama dan terdapat 21 kes dikesan positif.

“Daripada jumlah kes baharu di Selangor hari ini, 113 daripada kluster sedia ada termasuk lapan kes dari Kluster Yayasan. Manakala 76 daripada lain-lain saringan dan 49 saringan kontak rapat,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata kes baharu Covid-19 di seluruh negara hari ini pula sebanyak 1,309 menjadikan jumlah keseluruhan 64,485 dan kes aktif dengan kebolehjangkitan 11,481.

Sehingga kini, katanya, terdapat 116 kes positif Covid-19 yang sedang ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) manakala 42 memerlukan bantuan pernafasan.

“Terdapat pertambahan tiga kematian hari ini menjadikan jumlah kumulatif meninggal dunia 357 iaitu 0.55 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya.


Pengarang :