Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Seri Zulkifli Abdullah bercakap pada sidang media di Majlis Pelancaran Kempen Ikon Antidadah dan Program Tea Talk bersama Ikon Antidadah di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 11 November 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Covid-19: AADK guna pakai 16 SOP baharu kendali tahanan

KOTA BHARU, 18 NOV: Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) mengguna pakai 16 tatacara operasi piawai (SOP) baharu bagi mengendalikan tahanan penagih dadah dan menguruskan pengurusan di pusat pemulihan bagi membendung penularan Covid-19.

Ketua Pengarah AADK Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata penggunaan SOP yang berbeza sejak Mac lalu diguna pakai di kesemua pusat pemulihan AADK di seluruh negara berikutan pihaknya memandang serius mengenai wabak Covid-19.

Katanya, antara SOP yang telah dilaksanakan termasuk setiap kemasukan tahanan penagih dadah akan dilakukan ujian saringan kesihatan manakala tahanan dari zon merah akan dilakukan ujian swab.

“Selain melakukan ujian saringan kesihatan, sepanjang tempoh ini juga pihak kami turut mengehadkan penghantaran kemasukan bahan makanan ke dalam premis dan hanya diambil di pintu masuk sahaja bagi mengurangkan interaksi rapat.

“Malah, jumlah latihan modul turut dikurangkan dan jika sebelum ini kelas pemulihan diadakan di dalam kelas namun kini kami melakukan di kawasan yang lapang bagi mengurangkan kebarangkalian jangkitan berlaku selain akan memastikan pegawai yang bertugas mengikut SOP yang telah ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis Apresiasi Semarak Kasih AADK Kelantan di sini malam tadi, yang turut dihadiri Pengarah AADK Kelantan Rohayu Ahmad dan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri Wan Roslan Wan Hamat.

Zulkifli berkata sehingga kini tiada sebarang jangkitan Covid-19 dalam kalangan penagih dadah yang ditahan dan juga pelanggan AADK.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai penanaman ketum di negara ini, beliau berkata AADK telah mencadangkan kepada kerajaan supaya penanaman ketum itu dijadikan sebagai satu kesalahan jenayah di bawah Akta Racun.

Bagaimanapun, kerajaan sedang meneliti perkara itu, katanya.

“Kerajaan melalui Jawatankuasa Bertindak Penguatkuasaan Undang-undang telah bermesyuarat Julai lalu dan meminta untuk mewujudkan jawatankuasa teknikal undang-undang untuk melihat kalau ada kebaikan ketum dari segi perubatan ataupun industri dan perkara ini sedang diteliti,” tambahnya.

– BERNAMA


Pengarang :